My Add

Friday 3 February 2012

Parti serpihan akan menemui ajal

Oleh YULPISMAN ASLI dan RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, JUMAAT, 03 Februari, 2012: Parti-parti serpihan akan menemui ajal sama ada dibubar atau terbubar dengan sendiri kerana pemimpinnya tidak mempunyai pendirian yang konsisten.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah menjangka masalah sama akan dialami oleh Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA) yang dipimpin oleh Datuk Zaid Ibrahim.

"Kita tak tahu ke mana arah tuju Zaid sejak dia menubuhkan KITA, dia tak setuju dengan Anwar Ibrahim, dia bertentangan dengan banyak ideologi dan pandangan parti. Dia asal UMNO, lepas itu masuk situ, lepas itu tubuh parti sendiri.

"Jadi, bagi kita tak apalah, itu dia punya keputusan. Ia tidak memberi apa-apa ancaman besar kepada kita, mungkin juga lebih baik begitu," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan 2012 yang dihadiri lebih 2,000 warga pendidik di Dewan Tun Ghafar, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau mengulas kenyataan Zaid bahawa KITA akan dibubarkan menerusi mesyuarat luar biasa (EGM) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Pas tidak pernah mengakui masalah yang wujud dalam parti itu, sebaliknya akan menuduh UMNO sebagai punca kepada setiap permasalahan berlaku.

Beliau berkata, bagi Pas, UMNO adalah dalang bagi setiap masalah yang wujud dalam parti itu termasuk melibatkan kes bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai 'Jati.'

"Apabila ada masalah, tolak UMNO, all the bad boys UMNOlah, atau apa pun dalang UMNOlah, dia tak dapat terima kenyataan bahawa dia ada masalah, dia tak akui masalah dia sendiri,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment