My Add

Sunday 19 February 2012

Pas perlu nyata pendirian dengan tindakan

MUAR, SABTU, 18 Februari, 2012: Pas perlu menyatakan pendiriannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap dengan pendiriannya mengiktiraf kewujudan negara Israel dengan keluar atau mengkaji semula hubungannya dalam pakatan pembangkang.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, jika Pas masih tidak berani menyatakan pendirian sebenar parti itu, maka ia boleh dianggap bersubahat dengan Ketua Pembangkang itu.

"Dalam soal ini Pas kena buat pendirian, sama ada keluar atau terus bersama pakatan pembangkang atau buat syarat baru. Pas sehingga kini masih tidak buat pendirian tapi masih bersama pakatan, ini maknanya bersubahat.

"Dalam soal ini (sokong kewujudan Israel) senang sahaja sama ada jawapan hitam (tidak setuju) atau putih (setuju), tidak ada kelabu (meragukan)," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Sekolah Kebangsaan Parit Jamil, Parit Tengah di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan Anwar tetap dengan pendiriannya mengiktiraf kewujudan Israel dengan syarat tentera negara tersebut perlu berundur dari tanah Arab, keganasan dihentikan serta aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin dihormati.

Anwar turut dilaporkan berkata, beliau memahami bahawa Pas berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan parti itu tidak berhasrat mengadakan rundingan serta kerjasama dengan Israel.

Dalam temu bual bersama Wall Street Journal (WSJ) pada 26 Januari lalu, Anwar dilapor menyatakan sokongan terhadap semua usaha menjaga dan melindungi keselamatan Israel.

Sementara itu, ditanya sama ada Pemuda UMNO sedia berdebat dengan Pemuda Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang dilakukan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini, beliau berkata, pihaknya lebih memilih untuk melakukan syura.

Menurutnya, debat hanya membuang masa kerana mana-mana pihak yang kalah berdebat dengan UMNO tetap tidak akan tunduk dengan kebenaran dan pendirian pihak yang menang.

"Kita tak ada masalah untuk berdebat. Tetapi kalau mereka kalah dan masih dengan pendirian itu, lebih baik kita buat program bantu selesai masalah rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment