My Add

Saturday 18 February 2012

Penerima BR1M bantah tuduhan pembangkang

KUALA LUMPUR: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pembangkang kononnya pemberian RM500 oleh kerajaan kepada mereka adalah rasuah untuk membeli undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) depan. 

Antara kumpulan sasaran BR1M yang berpendapatan di bawah RM3,000 iaitu golongan ibu tunggal dan pesara, berpendapat tuduhan pembangkang itu berniat jahat untuk meletakkan mereka dalam keadaan serba salah dan menimbulkan rasa 'berdosa menerima rasuah'.

Ibu tunggal kepada empat anak termasuk seorang anak istimewa, Aminah Saad, berkata dengan tuduhan itu mereka mungkin harap kami menebus dosa rasuah itu dengan mengundi pembangkang.

“Boleh jalanlah... Dahlah tak pernah bantu apa-apa, pembangkang ni jahat mulut pulak. 

"Saya bersyukur kepada Allah atas bantuan ini dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak lupakan kami. Walaupun tak pernah kerja dengan kerajaan, dapat juga merasa 'bonus' sekali ini," katanya yang mengakui kenal ejen pembangkang yang menyebarkan fitnah itu. 

Sementara itu, seorang pesara yang mahu dikenali sebagai Pakcik Murad berkata, memang kaedah yang sama pernah dijadikan modal politik kempen pilihan raya pembangkang di Kelantan dulu di mana para pemimpin parti itu memberi amaran kepada pengundi supaya mengambil apa juga bantuan yang diberikan oleh BN tetapi jangan sekali-kali mengundi BN kerana ia akan menjadi rasuah. 

"Saya juga ingat cerita keluarga dulu mengenai pemimpin pembangkang yang menyuruh mereka mengambil bantuan yang diberikan oleh BN tetapi jangan undi BN sebaliknya undilah pembangkang supaya tidak menjadi penerima rasuah," katanya. 

Beliau menghentam keras niat jahat pembangkang yang kini cuba memainkan cerita yang sama untuk memanipulasi bantuan ikhlas yang diberikan oleh kerajaan supaya rakyat bukan saja tidak bersyukur malah membenci kerajaan yang membantu meringankan beban kewangan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment