My Add

Saturday 18 February 2012

Perpecahan politik melampaui batas

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Perpecahan politik dalam kalangan umat Islam tempatan kini melampaui batas yang digariskan Islam serta nilai budaya kemasyarakatan sehingga merugikan golongan itu sendiri.

Timbalan Dekan, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid (gambar) berkata, perpecahan itu amat berbahaya kerana mampu menenggelamkan pendapat serta teguran yang ingin disampaikan oleh golongan ilmuwan Islam.

Katanya, perkara itu amat menyedihkan kerana ia membantutkan percambahan idea dalam kalangan cendekiawan sehingga membuatkan ada kalangan mereka enggan menyatakan pandangan secara terbuka.

"Saya ada berkongsi kajian saya dengan pembaca internet mengenai keupayaan Kelantan mengeksport 5,000 lembu ke Singapura setiap tahun bermula sekitar 1911.

"Tidak semena-mena, ada komen menulis lembu itu duduk di kondominium di Singapura dan ia mengundang komen negatif daripada pihak lain sehingga saya tidak lagi mahu kongsi (dapatan kajian)," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi ahli panel sesi pertama Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini.

Perbincangan itu turut menampilkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengerusi Jawatakuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (iLMU), Fathul Bari Mat Jahaya.

Mahmood menambah, setiap ahli politik Islam digalakkan mempunyai cita-cita menjadi pemimpin tertinggi negara asalkan ia dicapai menerusi cara yang sentiasa berlandaskan ajaran agama.

Paling penting, kata beliau, pemimpin itu harus sentiasa menjaga kedaulatan agama Islam dalam mencapai cita-cita tersebut.

"Jangan kita ingat kita boleh mengubah sesetengah perkara dalam mengejar cita-cita kita dan akan memperbetulkan semula bila berkuasa nanti. Jam itu nanti tidak boleh dipusing semula," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment