My Add

Saturday 11 February 2012

Pertahan budaya, warisan nenek moyang - Najib


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir ke perhimpunan Silat Gayong Sedunia di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN, SABTU, 11 Februari, 2012: Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia berdiri dengan akar yang teguh sebagai bangsa merdeka dan berdaulat serta mempunyai jati diri yang ampuh dengan berpegang kepada agama, adat warisan dan nilai-nilai murni.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, akar yang dimaksudkan itu hendaklah bersifat nasionalis, manakala akalnya perlu bersifat internasional serta terbuka untuk menerima segala ilmu sama ada dari barat, timur atau dari sudut mana sekali pun.

''Jati diri itu kita ibaratkan sebagai akar dan akar kita mestilah akar tunjang yang kukuh kerana apabila ia teguh, tiada siapa pun yang boleh mencabut dari bumi yang bertuah ini," katanya pada majlis Sambutan Jubli Emas dan Perdana Gayong Malaysia Sedunia 2012 Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), semalam.

Beliau yang juga Imam Khalifah Agung pertubuhan silat berkenaan menegaskan, minda atau akal juga mestilah bersifat canggih dan terbuka untuk dipasakkan dengan pelbagai ilmu yang menjadi kekuatan sesebuah negara itu.

''Kalau ilmu yang kita timba itu tidak berpaksi pada akar yang teguh, maka kita akan hilang jati diri, lebih-lebih lagi ketika kita berhadapan dunia tanpa sempadan ini," ujar beliau.

Justeru kata Najib, amat perlu rakyat mempertahankan nilai budaya dan warisan yang telah diterima dari nenek moyang, antaranya ialah tradisi persilatan.

Sebab itulah, katanya, beliau mahu ahli persilatan khususnya anak Gayong melihat konteks kejatuhan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis lalu sebagai iktibar agar ia tidak terus merobohkan benteng perpaduan yang terbina selama ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment