My Add

Friday 10 February 2012

Polis bantu pertemuan ibu dan anak

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Polis memberi jaminan akan membantu warga Singapura, Wanchak Ibrahim, 43, bertemu anaknya buat kali pertama setelah mendakwa kanak-kanak itu dilarikan oleh seorang wanita dikenali sebagai Zainon sejak Mac tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, pihaknya sedia membantu Wanchak untuk bertemu anaknya, Muhammad Ashraf Abdullah yang berusia setahun lapan bulan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, Wanchak hanya dibenarkan untuk menjenguk anaknya sekejap sahaja.

"Ini ekoran kes itu masih disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan beberapa dokumen masih perlu diteliti," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mingguan Malaysia pada 5 Februari lalu menyiarkan kisah Wanchak yang mendakwa anaknya tidak dipulangkan setelah diserahkan untuk jagaan Zainon di Kampung Sentosa, Cahaya Baru, Pasir Gudang, dekat sini.

Ia diserahkan berikutan Wanchak terpaksa berulang-alik dari Pasir Gudang ke Singapura kerana bekerja di negara tersebut setiap hari seawal pukul 8 pagi hingga pukul 12 tengah malam.

Wanchak mendakwa dihalang oleh wanita berkenaan apabila dia mahu berjumpa dengan anaknya, selang beberapa hari selepas itu dan kanak-kanak tersebut turut diserahkan kepada sebuah keluarga lain.

Roslan berkata, pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk melengkapkan siasatan kes tersebut kerana perlu meneliti kenyataan kedua-dua belah pihak.

"Ini disebabkan Zainon mempunyai dokumen sokongan yang mendakwa dirinya merupakan penjaga yang sah ke atas kanak-kanak berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment