My Add

Monday 13 February 2012

Pusat Maklumat Iskandar Malaysia dibuka

SULTAN IBRAHIM dan Raja Zarith Sofiah bersama Najib, Rosmah serta Abdul Ghani dan menteri Kabinet menggaul 'Yee Sang' pada sambutan ulang tahun ke-15 Danga Bay, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU, AHAD, 12 Februari, 2012: Pusat Maklumat Iskandar Malaysia (IMIC) bernilai kira-kira RM5 juta yang dibuka mulai semalam, diharapkan dapat meningkatkan lagi kefahaman awam serta pelabur mengenai pelan pembangunan Iskandar Malaysia. 

Majlis perasmian IMIC yang terletak di Pusat Konvensyen Danga Bay itu disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. IMIC yang mempunyai keluasan lebih 5,800 meter persegi dilengkapi panel skrin sesentuh interaktif dan kiosk maklumat, dijangka menerima 200,000 pengunjung setahun.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Ismail Ibrahim, berkata IMIC berperanan sebagai ruang interaksi dan komunikasi berpusat antara IRDA dan pihak berkepentingan.

Beliau berkata, kemajuan pembangunan dan kerjasama antara agensi, badan kerajaan dan pelabur di Iskandar Malaysia dipamerkan di pusat maklumat terbabit. 

“Dengan platform komunikasi sedia ada, orang awam, pelabur dan bakal pelabur ada tempat bagi mendapatkan kefahaman mendalam berkaitan Iskandar Malaysia. 

“IMIC kini menjadi forum semua pihak berkepentingan untuk memahami, belajar dan mengambil bahagian apa saja berkaitan Iskandar Malaysia,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-15 Danga Bay dan Pelancaran Yayasan Danga, di sini, semalam. 

Turut mencemar duli, Raja Zarith Sofiah Almarum Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim. 
Hadir sama pada pelancaran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof Datin Paduka Dr Jamilah Ariffin. 

Ismail berkata, IMIC dibahagikan kepada beberapa seksyen iaitu melabur, bekerja, bermastautin dan beriadah. Pusat itu dibuka Selasa hingga Ahad bermula jam 10 pagi hingga 7 malam akan menjadi sumber maklumat kepada komuniti setempat, masyarakat serantau, pelabur dan pelawat antarabangsa. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment