My Add

Friday 10 February 2012

Ribut: Penduduk masih trauma

SUBANG JAYA, JUMAAT10 Februari, 2012: Rata-rata penduduk di Pangsapuri Teratai di Bukit Subang menyifatkan ribut petang kelmarin merupakan kejadian paling buruk pernah dialami oleh mereka.

Menurut Niza Hamid, 36, semasa ribut melanda, dia berada di beranda tingkat dua dan melihat awan gelap.

Menceritakan detik cemas itu, katanya, selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi angin kuat dan beberapa keping atap jatuh.

"Saya menjadi panik dan berlari mendapatkan kedua-dua anak yang berusia sembilan bulan dan empat tahun di dalam rumah lalu bergegas turun meminta pertolongan. Kami sekeluarga berusaha memindahkan barang berharga dan ditempatkan di dewan berdekatan," katanya yang masih trauma akibat kejadian tersebut.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Teratai (PPPT), Mohammad Ariffin Baba, 47, yang sudah 11 tahun menetap di premis itu memberitahu, sebelum ini tidak pernah kejadian ribut seperti itu melanda kawasan tersebut.

"Sebelum ini hanya angin kuat dan hujan lebat, tidaklah sampai tahap ini," ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayub berkata, sehingga kini pihaknya bersama agensi terlibat sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan di pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap struktur bangunan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati tingkat satu, dua, tiga dan empat masih boleh didiami oleh penduduk.

"Bagaimanapun, pihak polis perlu mendapatkan surat pengesahan hitam putih secara bertulis daripada jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum membenarkan penduduk mendiami semula rumah masing-masing.

"Sekarang ini kami mengambil keputusan untuk memindahkan kesemua mangsa di tingkat lima dan membantu mereka mengeluarkan barangan berharga ke pusat pemindahan sementara," katanya.

Ditanya bila kerja pembersihan selesai, Zahedi menjelaskan, pihaknya tidak boleh memberi jangkaan tepat kerana kerja membantu memunggah barang bergantung kepada keadaan cuaca.

"Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan manakala kos kerugian masih dalam siasatan dan kami perlu menunggu laporan penuh MBSA.

"Setakat ini paling teruk melibatkan 16 keluarga disebabkan kerosakan bermula dari tingkat atas di mana kerja menyelamat melibatkan kira-kira 50 anggota polis, bomba, MBSA, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment