My Add

Thursday 9 February 2012

RM224 juta Insentif Peningkatan Hasil kepada 211,380 petani

ABDULLAH Ahmad Badawi menyerahkan replika cek kepada Ismail Umar (kiri) pada majlis penyerahan Insentif Peningkatan Hasil di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Kerajaan memperuntukkan RM224 juta untuk tujuan pembayaran Insentif Peningkatan Hasil (IPH) kepada petani dari 2007 hingga 2011.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, daripada jumlah itu, bajet tambahan sebanyak RM117 juta diluluskan untuk tujuan pembayaran yang tertangguh dari 2009 hingga tahun lalu. 

Katanya, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk pembayaran IPH bagi tahun ini.

“Sehingga kini, kerajaan melalui PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) telah membuat pembayaran IPH berjumlah RM224 juta kepada 211,380 petani manakala RM117 juta akan dibayar kepada 75,583 petani bagi IPH yang tertangguh,” katanya selepas majlis penyerahan IPH di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penaga, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Penaga, Ismail Umar.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melunaskan IPH sebanyak RM12.5 juta kepada 10,704 petani di negeri ini dari 2007 hingga tahun lalu.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM2.2 juta diberikan kepada 1,803 petani di negeri ini pada tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan rekod pengeluaran padi sejak IPH dilaksanakan, ia meningkat daripada 41,000 tan metrik pada musim 1/2006 kepada 49,000 tan metrik pada musim 1/2011.

IPH diperkenalkan kerajaan pada November 2006 dalam usaha menggalakkan peningkatan pengeluaran padi bagi mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar tahap sara diri (SSL) iaitu 90 peratus daripada keperluan beras negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment