My Add

Thursday 9 February 2012

Roadshow pembiayaan rumah rakyat, PA DBKL

PUTRAJAYA, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin hari ini menjemput sesiapa sahaja termasuk dari parti pembangkang untuk menyertai dan berdebat pada program roadshow Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR) bermula 1 Mac ini.

Beliau berkata, program yang akan diadakan di hadapan penduduk PPR dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu khusus mengenai skim pembiayaan khas berkenaan sahaja.

Katanya, lokasi pertama bagi road show itu akan dimaklumkan melalui media tidak lama lagi.

"Marilah berdebat bersama-sama saya di hadapan penduduk PA DBKL dan PPR kerana sebelum ini ada pihak-pihak tertentu, termasuk pembangkang menyatakan golongan tersebut tidak mampu nak bayar dan macam-macam lagi.

"Mereka kena berdepan dengan golongan itu dan tanya betulkah mereka tidak mampu bayar RM200 hingga RM300 sebulan untuk hartanah yang akan jadi milik mereka di masa depan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Semalam portal berita Malaysiakini melaporkan anggota parlimen pembangkang iaitu Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dan Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) menyahut ajakan Nong Chik untuk berdebat berhubung skim pinjaman khas perumahan itu.

Skim yang akan dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan) dengan dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu bertujuan membantu warga kota berpendapatan rendah membeli rumah.

Nong Chik berkata, beliau berharap hasil daripada debat itu, bakal pembeli atau penyewa dapat menilai dengan lebih dekat hasrat murni kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu golongan yang memerlukan.

"Dalam masa yang sama, mereka juga mungkin dapat melihat bagaimana pihak pembangkang sengaja memanipulasikan niat baik kerajaan supaya ia gagal," katanya.

Sementara itu, menyentuh sambutan terhadap skim tersebut, beliau berkata, setakat ini kira-kira 35,000 penduduk PPR dan PA DBKL ditawarkan skim tersebut dan daripada jumlah itu, kira-kira 25,000 orang menyatakan minat.

"Daripada 25,000 orang itu, kira-kira 5,000 penduduk membelinya secara tunai dan 13,000 lagi telah menandatangani perjanjian jual-beli sementara 7,000 dalam proses menunggu kelulusan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment