My Add

Saturday 11 February 2012

Rumah nelayan hampir roboh

ABU Hassan Ahmad menunjukkan rumahnya yang hampir roboh di Kampung Sungai Baru, Kuala Sanglang, Jerlun, Kedah, kelmarin.

Oleh SAFINA RAMLI 

JITRA, 11 Februari, 2012: Seorang nelayan di Kampung Sungai Baru, Kuala Sanglang di sini, terpaksa membawa keluarganya menumpang rumah mertuanya di Utan Aji, Perlis kerana bimbang keselamatan mereka terancam disebabkan rumahnya hampir roboh akibat hakisan sungai.

Abu Hassan Ahmad, 57, berkata, dia membawa lima anak, termasuk isteri, Hasnah Kasa, 55, berpindah dari rumah itu sejak setahun lalu kerana struktur rumah yang semakin senget ke arah sungai.

"Saya pernah menerima bantuan membina rumah ini dua tahun lalu, tetapi kerja pembinaan tertangguh sehingga kini.

"Bahagian rumah yang menempatkan dapur dan bilik hampir menjunam ke sungai hingga memaksa saya menambat setiap penjuru rumah ke pokok dengan tali," katanya di sini kelmarin..

Menurutnya, apabila air sungai pasang ia melimpah ke ruang rumah menyebabkan kediaman diperbuat daripada kayu itu kian mereput.

"Saya sudah memohon bantuan membaiki rumah ini daripada pelbagai pihak, namun pelbagai dalih diterima kerana rumah saya terletak bersempadan antara Kedah dan Perlis.

"Saya bingung kerana pihak-pihak terlibat tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

"Sekiranya boleh saya tidak mahu menumpang di rumah mertua tetapi terpaksa," katanya yang sudah 20 tahun menginap di rumah itu.

Abu Hassan menambah, pendapatan sebagai nelayan RM700 sebulan tidak mencukupi untuk meneruskan kerja membina semula rumah itu.

Malah bertambah malang, sampan Abu Hassan mengalami kerosakan enjin dan kos membaikinya pula tinggi.

"Saya terpaksa menumpang sampan kawan-kawan yang hendak ke laut kerana sampan sendiri sudah rosak," katanya.

Ujarnya, setiap hari dia terpaksa berulang-alik dari Perlis ke Kuala Sanglang untuk ke laut dengan menumpang sampan rakannya selain menjenguk keadaan rumahnya.

Pihak yang ingin membantu Abu Hassan boleh hubungi talian 017-4297394. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment