My Add

Friday 10 February 2012

Rundingan terakhir selesaikan isu

KERAMAT Mall di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur masih gagal berfungsi sepenuhnya akibat keengganan peniaga di Pasar Datuk Keramat berpindah ke pasar moden itu.

Oleh ROSLAH OTHMAN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2912: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan perbincangan ‘terakhir’ dengan peniaga di Pasar Datuk Keramat dalam tempoh terdekat ini bagi menyelesaikan isu peniaga yang enggan berpindah ke Keramat Mall.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menggambarkan bahawa selepas pertemuan itu, tiada rundingan lagi akan dibuat dengan peniaga yang dilihat masih berdolak-dalih selepas beberapa siri pertemuan sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu sudah terlalu lama tertangguh dan peniaga sendiri perlu memahami bahawa ramai peniaga lain yang menunggu dan menunjukkan minat untuk mengambil tempat mereka di situ.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil terhadap peniaga-peniaga yang enggan berpindah itu, beliau berkata setakat ini pihaknya belum membuat sebarang ketetapan.

“DBKL masih memikirkan tindakan tegas yang mungkin diambil ke atas mereka.

“Bagaimanapun DBKL tidak menolak kemungkinan tawaran berniaga di situ akan dibuka kepada peniaga dan penjaja dari kawasan sekitar selepas perbincangan diadakan,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai isu perpindahan peniaga di pasar lama ke Keramat Mall.

Sebelum ini, kira-kira 70 peniaga barangan kering di Pasar Datuk Keramat menyatakan persetujuan untuk memindahkan operasi mereka ke Keramat Mall selepas Hari Raya Aidilfitri pada September tahun lalu.

Namun, difahamkan ketika ini hanya terdapat hampir 20 peniaga yang telah memulakan operasi di pasar serba moden itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment