My Add

Friday 3 February 2012

Sekolah tiada jalan masuk


SHAHUL Hameed menunjukkan kawasan yang sepatutnya dijadikan jalan sempurna untuk kemudahan murid-murid ke SK Desaminium di Seri Kembangan, Serdang, Selangor.
Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB 

SERDANGJUMAAT, 03 Februari, 2012: Sekolah Kebangsaan Taman Desaminium di sini sudah lebih setahun dibuka tetapi sehingga ke hari ini, sekolah itu masih belum mempunyai jalan masuk yang sempurna.

Setiap hari, murid-muridnya perlu berjalan sejauh lebih setengah kilometer melalui jalan tidak berturap yang berhabuk jika cuaca kering dan becak jika hujan untuk ke sekolah.

Selain itu, ibu bapa juga hanya boleh menghantar anak mereka di hadapan pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Desaminium sahaja kerana tiada laluan untuk ke sekolah rendah yang terletak di belakang sekolah menengah itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan yang sepatutnya dibina untuk kemudahan murid masih tidak ada tanda-tanda ia akan dilaksanakan dalam waktu terdekat dan kini dipenuhi dengan semak-samun.

Murid-murid termasuk murid tahun satu yang membawa beg sekolah yang berat pula kelihatan berpeluh-peluh ketika berjalan kaki menuju ke jalan utama.

Cadangan untuk membina laluan ke sekolah itu terpaksa dibatalkan kerana kawasan yang terlibat dikatakan milik persendirian.

Sementara itu, seorang penjaga, Shahul Hameed, 56, berkata, laluan berturap untuk ke sekolah tersebut harus dibina segera bagi memudahkan ibu bapa menghantar anak masing-masing.

Katanya, jika tanah yang terlibat bukan milik kerajaan, satu langkah segera harus diambil supaya masalah itu tidak berlarutan sehingga menyusahkan murid-murid.

“Saya sudah tidak sanggup melihat murid-murid lain yang masih kecil ini terpaksa berjalan dalam cuaca panas dan hujan,” katanya.

Shahul berkata, laluan itu juga penting demi keselamatan murid terutama murid sesi petang yang menaiki bas sekolah.

“Saya pernah jumpa seorang murid sedang menangis kerana ketinggalan bas dan waktu itu hari sudah hampir malam,” katanya.

Seorang murid, Nur Shafina Shahul, 9, mengakui terpaksa terkejar-kejar ke jalan utama kerana bimbang akan ditinggalkan bas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment