My Add

Saturday 11 February 2012

Seorang usahawan satu zon

Oleh HUSSAINI AMRAN

KUALA LUMPUR, SABTU, 11 Februari, 2012: Usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berpeluang meraih pendapatan lumayan dengan membekalkan daun getah memandangkan permintaan yang meningkat terhadap bahan mentah itu.

Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, daun getah siap diproses untuk dijadikan produk kraftangan boleh dijual pada harga antara RM350 dan RM400 sekilogram.

Sehubungan itu beliau yakin lebih ramai usahawan berasaskan daun getah siap diproses dapat dilahirkan memandangkan terdapat banyak permintaan terhadap produk kraftangan yang diperbuat daripada daun getah sedangkan bahan mentahnya sangat berkurangan.

"Pada masa ini pengusaha kraftangan berasaskan daun getah sukar memperoleh bahan mentah sedangkan produk mereka mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara.

"Sehubungan itu, RISDA mahu mewujudkan sekurang-kurangnya seorang usahawan yang berkecimpung dalam kegiatan membekal daun getah di setiap zon," katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul dan Doa Selamat Perdana di Ibu Pejabat RISDA di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri kedua-da Timbalan Ketua Pengarah RISDA, Mohamat Muda (Pembangunan) dan Ahmad Sufi Alias (Pengurusan dan Korporat) serta Ketua-ketua Pegawai Eksekutif RISDA Holdings, Datuk Ali Nordin Wahiduddin dan RISDA ESPEK, Datuk Kamaruddin Mohamed Shan.

Menurut Wan Mohamad Zuki, RISDA bersedia mempertimbangkan pemberian pinjaman sehingga RM10,000 kepada pekebun kecil yang berminat membekal daun getah sekiranya mereka memenuhi syarat ditetapkan.

Sementara itu beliau menyarankan pekebun kecil RISDA supaya menjalankan perniagaan secara sepenuh masa bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi.

"Kami menggalakkan pekebun kecil berbuat demikian kerana lebih mudah untuk RISDA membantu mereka dari segi khidmat nasihat, bantuan kewangan dan infrastruktur," katanya.

Wan Mohamad Zuki berkata, setakat ini seramai 6,979 usahawan baru dilahirkan RISDA dan agensi tersebut menyasarkan pembabitan lebih 10,000 pekebun kecil dalam bidang keusahawanan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-10. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment