My Add

Saturday 18 February 2012

Sikap tunggu dan lihat punca 40,000 pemuda UMNO tak daftar

KUALA LUMPUR, JUMAAT,  17 Februari, 2012: Sikap tunggu dan lihat menjadi satu punca mengapa kira-kira 40,000 anggota Pergerakan Pemuda UMNO yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Exco Keahlian Pergerakan Pemuda UMNO, Hishamuddin Yahaya berkata, kebimbangan dan sikap teragak-agak muncul di kalangan mereka yang belum menjadi pemilih termasuklah was-was sama ada dapat mengundi atau tidak pada pilihan raya akan datang walaupun sudah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - UTUSAN

“Memang kita akui pendaftaran di kalangan anggota Pemuda UMNO sekarang agak perlahan. Mereka masih ragu-ragu sama ada sempat mengundi atau tidak dalam pilihan raya umum yang sudah dekat ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 700,000 anggota Pemuda UMNO dan hanya 40,000 daripada jumlah itu yang belum mendaftar.

Hishamuddin berkata, pada tahun lepas kira-kira 100,000 anggota pergerakan sudah didaftarkan atas usaha semua peringkat terutama di bahagian-bahagian yang menjelaskan peri pentingnya menjadi pengundi dan bukan hanya menjadi anggota parti.

Justeru, katanya, semua Ketua Pemuda UMNO Bahagian diingatkan supaya mendaftarkan anggota di peringkat masing-masing untuk menambah bilangan pengundi, sekali gus kekuatan parti.

“Kita mengingatkan mereka tidak kira bila pilihan raya umum akan diadakan pada Mac atau Jun atau Disember ataupun tahun depan, yang pentingnya semua bahagian perlu memainkan peranan masing-masing untuk mendaftarkan anggota Pemuda sebagai pengundi,” katanya.

No comments:

Post a Comment