My Add

Saturday 11 February 2012

Skandal pasir: Pemuda UMNO lapor polis

SHAH ALAM, SABTU, 11 Februari, 2012: Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini meminta polis menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah membabitkan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang didedahkan Raja Petra Kamaruddin menerusi laman blog, Malaysia Today, kelmarin.

Ketuanya, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal berkata, siasatan tersebut harus dilakukan segera bagi memastikan dakwaan itu berasas atau sebaliknya agar tindakan undang-undang boleh dilaksanakan terhadap mereka yang terlibat.

Menurutnya, ini kerana dakwaan penyelewengan melibatkan salah guna kuasa dan rasuah merupakan satu jenayah yang tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan wakil rakyat yang mempunyai kepentingan tertentu.

"Justeru, kita mahu polis menyiasat dakwaan berkenaan secara terperinci dan 'mencungkil' siapakah dalang sebenar dalam skandal penyelewengan pasir di Selangor seperti yang didedahkan menerusi laman blog itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.

Hadir sama Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Tambah Ungku Md. Salleh, berdasarkan dakwaan itu, Raja Petra mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amiruddin Shari telah memberi sokongan bertulis pada surat permohonan sebuah syarikat untuk melombong pasir di kawasan seluas 18 hektar di Dengkil.

Ketika itu, katanya, Amiruddin memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat berkenaan pada 2010.

Dakwaan Raja Petra itu turut melibatkan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dikatakan turut memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat yang sama.

"Berdasarkan dakwaan tersebut, persoalan yang timbul ialah bagaimana wakil rakyat itu menyokong surat permohonan sebuah syarikat untuk melombong pasir sedangkan mereka sendiri adalah Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang terbabit.

"Jika benar dakwaan itu, kita lihat ia mempunyai unsur-unsur salah guna kuasa, ada konflik kepentingan," jelas beliau yang akan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment