My Add

Friday 10 February 2012

Skim rawatan kesihatan 1Care belum muktamad

PUTRAJAYA, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Kementerian Kesihatan menafikan telah membuat keputusan berhubung pelaksanaan skim penjagaan kesihatan 1Care For 1Malaysia termasuk menetapkan peratusan potongan gaji pekerja di negara ini untuk membiayai skim tersebut.

Timbalan Pengarah Unit Pembiayaan Kesihatan, Dr. Rozita Halina Hussein berkata, cadangan skim tersebut masih di peringkat teknikal, di mana 11 pasukan kerja sedang mencari kaedah penjagaan kesihatan terbaik untuk rakyat Malaysia.

Katanya, tidak timbul soal memuktamadkan pemotongan gaji atau pun mengkomersialkan bidang penjagaan kesihatan di negara ini kerana matlamat 1Care For 1Malaysia adalah memastikan semua rakyat tanpa mengira miskin atau kaya mendapat perlindungan kesihatan sewajarnya.

Beliau berkata, apa yang pasti semua rakyat Malaysia akan diwajibkan menyertai skim tersebut manakala penyedia perkhidmatan kesihatan seperti klinik dan hospital swasta diberi kebebasan untuk mengambil bahagian atau sebaliknya.

"Dakwaan bahawa pelaksanaan skim ini akan memaksa rakyat Malaysia mengeluarkan duit dari poket sendiri sama sekali tidak benar. Kita sedang merangka skim yang terbaik untuk rakyat Malaysia supaya mereka dapat menggunakan perkhidmatan tersebut secara optimum," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat skim 1Care For 1Malaysia bersama media di sini, hari ini. Taklimat lebih dua jam itu turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman.

Dr. Rozita mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya cadangan skim penjagaan kesihatan itu akan membebankan rakyat antara lain termasuk bakal menyaksikan potongan 10 peratus daripada gaji pekerja akan dikuatkuasakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment