My Add

Thursday 9 February 2012

SPRM panggil Shahrizat

SHAHRIZAT keluar dari bangunan SPRM selepas memberi keterangan kes PFN, semalam. - Foto Mohd Fadhli HamzahMenteri disoal siasat 2 jam setengah berhubung kes pusat fidlot

PUTRAJAYA, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira dua jam setengah berhubung isu Pusat Fidlot Negara (PFN) di sini, semalam.

Beliau yang kembali memulakan tugas semalam selepas bercuti tiga minggu, tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira jam 4 petang dan dilihat bertemu Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali di tingkat satu bangunan berkenaan.

Ketika ditemui wartawan selepas itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno, berkata kehadirannya di SPRM bertujuan membantu siasatan berhubung isu PFN yang diuruskan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang diketuai suaminya, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail selaku Pengerusi Eksekutifnya.

“Saya sebenarnya mengambil cuti dengan harapan SPRM memanggil saya untuk membuat siasatan rapi mengenai isu NFC (NFCorp), sama ada saya terlibat atau tidak terlibat dengannya.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya disiasat, saya datang ucap terima kasih kepada SPRM kerana memanggil saya dan datang dengan rela hati kerana sememangnya saya menunggu mereka memanggil saya.

“Sepanjang dua jam setengah mereka bertanya soalan dan saya memberi jawapan di mana saya nyatakan secara jelas dan terang, saya tidak pernah terbabit dalam membuat keputusan atau apa-apa isu dengan NFC.

“Saya hadir di sini kerana saya isteri kepada Pengerusi Eksekutif NFC, (Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail), sebab itu wujud persoalan sama ada ada konflik kepentingan dalam keputusan yang dibuat.

“Saya sudah pun menjelaskan sebelum ini, saya tidak pernah terbabit dan ada dokumen rasmi untuk mengesahkannya,” katanya kepada pemberita yang menunggu sejak jam 3 petang di ibu pejabat SPRM.

Sebelum ini, Shahrizat bercuti daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu dan berharap dalam tempoh itu SPRM akan menjalankan siasatan mengenai NFC milik suaminya yang turut dikaitkan dengannya.

Projek NFC diuruskan National Feedlot Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd (Agroscience) di Gemas, Negeri Sembilan, dikecam pembangkang yang mendakwa wujud penyelewengan dana kerajaan membabitkan pinjaman mudah bernilai RM250 juta.

Isu berkaitan pusat itu disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 selepas ia berdepan masalah apabila sasaran pengeluaran dikurangkan daripada 60,000 lembu kepada 8,000 lembu.

Sementara itu, Mustafar yang dihubungi berkata, Shahrizat memberikan kerjasama yang baik ketika memberi keterangan.

“Kita panggil Shahrizat ke SPRM adalah sebahagian daripada prosedur biasa siasatan yang kita dijalankan,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment