My Add

Saturday 11 February 2012

Tangan Zulhafiz perlu dipotong

MOHD.. Zulhafiz Abdul Ghani akan kehilangan tangan kiri jika dipotong ekoran kanser tulang.

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN, SABTU, 11 Februari, 2012: Akibat menghidap kanser tulang tahap kritikal, ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kiri Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani, 21, tidak boleh dibedah melainkan tangan kirinya dipotong bagi memulihkan penderitaan yang sedang ditanggung pemuda malang tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nooraini Baba berkata, Mohd. Zulhafiz yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hanya diberikan rawatan paliatif yang bertujuan mengurangkan kesakitan yang dihadapi pemuda itu.

"Rawatan paliatif ini kita berikan kepada pesakit yang menghidap kanser tahap kritikal yang tidak ada rawatan bagi memulihkan penyakit itu. Ia rawatan terakhir yang mana kita akan beri ubat tahan sakit yang dosnya di tahap paling tinggi bagi mengurangkan kesakitan Mohd. Zulhafiz.

"Tidak ada pembedahan akan dilakukan kerana Mohd. Zulhafiz telah melakukan rawatan sebelum ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Pelbagai rawatan termasuk kemoterapi telah dibuat dan sehingga kini keadaannya masih sama kerana Mohd. Zulhafiz menghidap kanser tulang tahap kritikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Majlis Belia Pahang (MBP) yang hadir melawat dan memberikan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 kepada ibu Mohd. Zulhafiz, Supiah Yahya, 58, di HTAA di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah HTAA, Datuk Dr. Marlia Mohamad Salleh, Setiausaha Agung MBP, Azrul Khairi Muhamad dan Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Masyarakat MBP, Nurasyikin Sulaiman.

Sementara itu, mengenai laporan yang memetik kenyataan Supiah sebelum ini bahawa RM20,000 diperlukan bagi kos rawatan Mohd. Zulhafiz, Nooraini menjelaskan, tiada kos rawatan yang diminta oleh HTAA kepada keluarga pemuda itu.

''Ini kerana apabila seseorang pesakit itu ditempatkan di hospital kerajaan, semuanya adalah percuma," jelasnya.

Sementara itu, Nurasyikin berkata, MBP akan memantau perkembangan pemuda malang itu dari semasa ke semasa kerana tidak mahu dia keseorangan menanggung penyakit yang sedang dihidapinya itu.

"Kita tahu, banyak kos diperlukan terutama untuk membeli keperluan harian sepanjang Mohd. Zulhafiz berada di hospital. Kita (MBP) akan membantu dari segi kebajikan. Kalau pemuda ini perlukan lampin pakai buang, kita juga akan berikan.

"Kami juga akan terus mengumpul dana melalui program yang MBP laksanakan untuk disumbangkan kepada Mohd. Zulhafiz. Dan buat permulaan untuk hari ini, sebanyak RM1,000 kita berikan kepada ibunya," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment