My Add

Friday 10 February 2012

Telok Kemang tiada minyak masak

S. Raju menunjukkan ketiadaan bekalan minyak masak peket di sebuah pasar raya di Port Dickson, semalam.

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELOK KEMANG, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Masalah bekalan minyak masak yang dilaporkan meruncing di Lembah Klang kini melanda bandar ini apabila orang ramai dikatakan sukar untuk mendapatkan bahan itu.

Para peniaga dan orang ramai yang ditemui memberitahu, bekalan minyak masak peket sukar untuk diperoleh sejak beberapa bulan lalu sehingga terpaksa mengunjungi beberapa kedai di sekitar bandar ini untuk mendapatkannya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai runcit di sekitar kawasan ini mendapati, rak jualan bekalan minyak masak terutama minyak masak peket satu kilogram kosong.

Seorang peruncit, V. Kumar, 58, berkata, kali terakhir kedainya menerima bekalan minyak masak adalah pada Disember tahun lalu.

“Walaupun minyak masak kurang dibeli di kedai saya disebabkan berhampiran dengan hotel, tetapi kini ada segelintir penduduk yang datang mencari bekalan minyak di sini disebabkan kawasan sekeliling kediaman mereka kehabisan bekalan,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Lim Jit Huang, 53, berkata, dia juga menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram.

“Setiap kali pelanggan datang hanya satu peket dibenarkan dibeli sehingga ada pelanggan merungut.

“Dahulunya saya mendapat bekalan daripada pembekal sebanyak 100 peket untuk sebulan tetapi ia berkurangan menjadi 50 peket dan baru-baru ini 30 peket,” ujarnya.

Peniaga, R. Balan, 50, pula kesal dengan segelintir pelanggan yang mendakwa mereka sengaja menyembunyikan minyak masak sedangkan adalah sukar untuk mendapatkan bekalannya daripada pemborong.

“Tiada sebab untuk kami berbuat demikian kerana apa yang diberi oleh pembekal, itulah yang kami pasarkan. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana minyak masak merupakan antara keperluan harian yang penting,” tambahnya. 

No comments:

Post a Comment