My Add

Thursday 9 February 2012

Usaha penubuhan Kelab Penyokong BN rumit

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Usaha untuk menubuhkan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) di Sarawak oleh lima anggota wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang dipecat dan juga keluar parti tampak rumit. 

Sementara sebilangan pemimpin BN meragui penubuhan kelab berkenaan, ada yang berpendapat penubuhannya adalah kaedah terbaik bagi BN menyelesaikan masalah dalaman yang dialami parti komponen BN di Sarawak, terutamanya menjelang pilihan raya umum ke-13 yang boleh diadakan bila-bila masa sekarang hingga Mac 2013.

Sebagaimana yang dinyatakan Ketua Bahagian SPDP, Lambir Stewart Aying, BN tidak mahu memburukkan lagi keadaan hanya dengan mengumumkan bahawa penyandang berkenaan kini bukan lagi berada dalam BN.

"Pertamanya, BN memerlukan pemimpin untuk mengagih-agihkan dana projek luar bandar. Siapakah yang boleh melakukannya dengan lebih baik selain para penyandang ini? 

"Kedua, jika BN mengumumkan sekarang bahawa mereka kini sudah di luar BN, parti gabungan ini secara teknikalnya akan kehilangan wakil rakyat mereka. 

"BN masih memerlukan mereka untuk menyokong dasar-dasar semasa perbahasan di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat," katanya yang dipetik sebagai berkata akhbar tempatan Sarawak. 

Bagaimanapun, Stewart percaya waktu paling penting adalah ketika hari penamaan calon kerana BN perlu memutuskan sama ada mereka harus membenarkan calon "penyokong parti" daripada kelab seumpamanya untuk mewakili parti. 

Jika kelab penyokong BN ini dibenarkan berbuat demikian, katanya, maka tiada apa yang akan menghalang mereka yang tidak berpuas hati dengan parti masing-masing untuk menubuhkan kelab seumpamanya setiap kali mereka berasa kecewa dengan kepimpinan parti mereka. 

Hujah Stewart, pembentukan parti seumpamanya hanya akan membuka peluang dan menjadi permulaan tidak baik bagi BN, sebuah parti gabungan 13 parti komponen. 

Beberapa pemimpin dalam parti gabungan percaya keadaan di Sarawak memerlukan kelab seumpamanya diwujudkan. 

"Demi (kepentingan) kestabilan politik, ia adalah suatu perkara yang baik daripada membiarkan mereka menjadi pembangkang, adalah lebih baik mereka terus menyokong BN," kata seorang ahli politik veteran, Datuk Yap Pian Hon, yang juga Ketua Penerangan BN Selangor. 

"Saya tidak menggalakkan ahli politik (BN) melakukan perkara ini, tetapi di dalam keadaan sedemikian, ini (mungkin) menyediakan jalan kompromi dengan harapan kita akan mendapat lebih banyak undi pada pilihan raya. 

"Daripada membiarkan mereka menyertai pembangkang, adalah lebih baik bagi mereka yang dipecat oleh parti masing-masing menubuhkan kelab seumpamanya," katanya. 

Timbalan Presiden GERAKAN, Datuk Chang Ko Youn pula berkata, ikhtiar berkenaan bukanlah suatu perkara baru, mengambil contoh kes di Perak apabila beberapa wakil rakyat bebas memilih untuk memihak kepada BN. 

"Sebagai penyokong BN, anda akan mempunyai lebih kebebasan untuk mengadakan aktiviti. Saya melihat keadaan ini di Perak apabila mereka mengadakan kempen kesedaran awam yang memberi faedah kepada orang ramai," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kelab seumpamanya seharusnya bagi bukan anggota BN dan mereka yang bukannya anggota mana-mana parti komponen BN. 

Ia jelas dinyatakan apabila BN meminda perlembagaannya pada 2010 bagi membenarkan keanggotaan secara langsung serta sebagai anggota 'bersekutu' dan 'gabungan'. 

Presiden LDP, Datuk V K Liew, menjelaskan pindaan berkenaan dilakukan dengan garis panduan tertentu dan satu daripadanya adalah sesiapa yang berhasrat menjadi anggota bersekutu atau gabungan mestilah bukannya anggota mana-mana parti. 

Syarat lain adalah hanya ahli parti komponen boleh menjadi calon BN dalam pilihan raya. 

"Kemungkinan selepas dua atau tiga tahun, jika mereka berasa bahawa politik adalah kehidupan mereka atau mereka ingin menjadi calon, mereka mungkin boleh menyertai parti komponen," kata Liew. 

Sumber dalaman parti menyatakan, bahawa pembentukan Kelab Penyokong BN di Sarawak dijangka membawa beberapa kesan. 

Pertama, mereka yang dipecat daripada parti mungkin dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi mereka. 

Terdapat juga kemungkinan bahawa BN menggunakan formula yang digunakan semasa pilihan raya negeri pada 1983 bagi menyelesaikan masalah antara Parti Nasional Sarawak (SNAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), yang ketika itu kedua-duanya merupakan parti komponen BN Sarawak. 

Di dalam formula itu, kedua-dua parti dibenarkan menggunakan simbol parti masing-masing untuk bertanding menentang satu sama lain di kawasan yang menjadi pertikaian, meskipun kedua-duanya adalah parti komponen BN. Keadaan ini berlaku selepas PBDS yang berpecah daripada SNAP mendesak untuk bertanding di 16 kawasan dan permintaan ini dibantah keras oleh SNAP. 

SNAP dan PBDS masing-masing memenangi lapan kerusi, kesemuanya kekal di tangan BN. 

Keduanya, ia boleh mewujudkan duluan keadaan dengan mereka yang setiap kali mempunyai masalah dengan parti beralih kepada Kelab Penyokong BN. 

Apatah lagi apabila mereka juga mempunyai peluang untuk dicalonkan semula sebagai calon. 

Ia mungkin boleh berlaku mengikut satu formula, seperti yang pernah dilakukan 
Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990 apabila dua calon yang tidak mempunyai parti; Datuk Billy Abit Joo di Hulu Rejang dan Datuk Joseph Salang di Julau, yang membenarkan mereka mewakili BN. 

Kedua-duanya memenangi kerusi masing-masing. 

Apa jua keputusannya, seorang penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian, berkata tugas paling penting bagi mereka yang mempromosikan Kelab Penyokong BN di Sarawak untuk menjelaskan peranannya. 

"Bagaimana ia harus berbeza daripada mana-mana parti komponen BN? Jika anda dipecat daripada sebuah parti komponen, bagaimana anda boleh terus memainkan peranan, menyokong dalam BN? Jika mereka ini ingin bertanding, bagaimana isu ini boleh diselesaikan?" katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment