My Add

Saturday 18 February 2012

Warga emas boleh dapatkan latihan di Pusat GiatMara

PASIR MAS, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Golongan warga emas yang masih berminat menimba ilmu kemahiran sekalipun umur sudah mencecah 90 tahun, boleh mendaftar di mana-mana Pusat GiatMara kerana kerajaan menyediakan pelbagai kursus secara percuma kepada mereka.

Pengerusi Giatmara, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, mereka boleh mengikuti pelbagai latihan di bawah Program Latihan 1Malaysia kerana adalah menjadi sasaran kerajaan Pusat untuk memastikan semua rakyat tidak kira peringkat umur mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran.

Beliau berkata, pelbagai latihan kemahiran turut disediakan kepada ibu tunggal, pesara polis dan tentera yang berminat selain fokus utama GiatMara untuk memberi latihan kepada golongan belia.

"Kerajaan buat Program Latihan 1Malaysia untuk apa sahaja peringkat umur sama ada 83 atau 93 tahun, kalau mereka minat bertukang mari datang bertukang.

"Kalau kursus itu perlu lima jam, maka kita berikan kelas lima jam. Kalau perlu tiga hari, kita akan bagi pada setiap hujung minggu kerana kerajaan sedang berusaha memastikan masyarakat mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran," katanya selepas majlis ramah mesra GiatMara bersama masyarakat di Sekolah Kebangsaan Tok Uban di sini, semalam.

Shahiruddin berkata, setakat ini, GiatMara berjaya melatih 300,000 golongan muda dan lebih 70 peratus daripada jumlah itu kini berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor automotif dan keusahawanan.

Tambahnya, lebih membanggakan apabila ramai bekas pelatih kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM7,000 sebulan selepas beberapa tahun bekerja dengan majikan masing-masing.

"Ini adalah objektif utama GiatMara iaitu melatih golongan belia yang tidak mempunyai minat bersekolah dengan memberikan mereka pelbagai jenis kemahiran untuk mendapat peluang dalam sektor pekerjaan.

"Kami ambil golongan belia berambut panjang dan memakai subang dan beri latihan. Akhirnya berjaya mencapai hasrat kerajaan untuk melahirkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi," jelas beliau.

Sementara itu katanya, tahun ini kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi peruntukan sebanyak RM14.3 juta kepada GiatMara untuk tujuan membaik pulih dan membina rumah baru kepada mana-mana keluarga miskin dan daif.

"Daripada jumlah itu kita peruntukkan sebanyak RM1.5 juta di Kelantan. Mana-mana rumah orang miskin yang tiada atap, bilik air, lantai atau sebagainya kita akan baik pulih dan mana yang perlu akan dibina baru," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment