My Add

Tuesday 13 March 2012

1,623 permohonan Rumah Pertamaku diterima hingga Januari

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Mac, 2012: Sebanyak 1,623 permohonan bagi mendapatkan jaminan di bawah Skim Rumah Pertamaku telah diterima sehingga Januari tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 280 pinjaman diberikan jaminan dengan nilai RM41.1 juta," katanya dalam jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) melaksanakan 56 projek perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana melibatkan 37,757 unit sehingga Januari lalu.

Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB menyiapkan 17,749 unit rumah di seluruh Malaysia, katanya kepada soalan Hee yang ingin tahu sejauh mana kejayaan pembinaan skim perumahan berkenaan dan rancangan kerajaan supaya rakyat berpendapatan rendah di bandar mampu memiliki rumah. 

Najib berkata, bagi tempoh sama, 32,762 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 25 projek telah siap dibina dan 2,100 unit sedang dalam pembinaan di Kuala Lumpur bagi menampung kekurangan rumah kos rendah di kawasan Lembah Klang. 

Perdana Menteri berkata, pembinaan rumah kos rendah oleh pemaju perumahan swasta mengikut kuota yang ditetapkan kerajaan negeri juga telah dapat membantu meningkatkan pemilikan rumah golongan berpendapatan rendah di bandar-bandar seluruh negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment