My Add

Friday 16 March 2012

255 wartawan buru Anugerah Kajai

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Mac, 2012: Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) terbanyak kali ini dengan 255 wartawan membabitkan 507 karya sejak pengenalan format baru HKM pada 2009. 

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya, berkata sambutan memberangsangkan itu adalah petanda wartawan mula sedar akan peranan MPI dalam mengiktiraf kerja mereka.

"Peningkatan penyertaan ini juga telah memberi kesan kepada kualiti karya-karya yang bertanding dan pada tahun ini kita melihat terdapat peningkatan yang amat positif dalam penulisan, berita televisyen, video, dokumentari, gambar dan penghasilan berita khususnya," katanya di sini hari ini.

Beliau yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan dan tajaan Malam Wartawan Malaysia 2012, berkata tahun lepas, anugerah itu disertai 198 warga media. 

Katanya, peningkatan ketara adalah dalam kategori Wartawan Muda A Samad Ismail dan Rencana Cemerlang yang memerlukan setiap wartawan menghantar sekurang-kurangnya tiga artikel untuk layak bertanding. 

"Bagi dua kategori itu MPI ingin melihat usaha dan komitmen wartawan dalam sentiasa berkarya sepanjang tahun dan mereka tidak boleh menggunakan artikel yang sama untuk dua kategori yang berbeza," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang juga Anggota Majlis Pentadbir MPI, Datuk Yong Soo Heong, berkata wartawan yang bertanding bagi kategori Wartawan Muda A. Samad Ismail dan Rencana Cemerlang dinilai melalui komitmen serta tahap kualiti artikel dan rencana yang dihasilkan.

"Jika mereka (wartawan) hantar tiga artikel tetapi dua daripadanya tidak ada kualiti yang MPI inginkan, mungkin peluang untuk menang tipis dan lebih baik jika hantar lima atau enam artikel kerana dua kategori ini dinilai melalui kualiti dan komitmen menghasilkan artikel yang berkualiti," katanya. 

Bagi edisi tahun ini, sebanyak 12 kategori HKM dibuka yang mana penyertaan terbaik akan dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai yang akan membawa pulang RM30,000 dan syiling emas seberat 100 gram. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment