My Add

Sunday 18 March 2012

300 pelajar terima komputer 1Malaysia

KEPALA BATAS, AHAD, 18 Mac, 2012: Seramai 300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang dan SMK Agama Al-Irshad menerima komputer riba yang diagihkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Projek Pengagihan Komputer 1Malaysia.

Bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, program itu merupakan satu daripada pelan kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah negara.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana ramai pelajar di Parlimen Kepala Batas menerima komputer riba 1Malaysia untuk kemudahan dan kegunaan mereka di kawasan ini," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia di sini hari ini.

Beliau percaya komputer yang diberikan secara percuma itu akan meningkatkan keupayaan dan prestasi pelajar dalam usaha kerajaan menjana modal insan yang cemerlang serta berpengetahuan luas.

"Pelajar adalah modal insan masa hadapan negara kerana bakal menjadi satu kekuatan kepada negara, justeru pemberian komputer ini adalah perlu untuk membantu meningkatkan prestasi serta nilai tambah iaitu pengetahuan yang luas kepada pelajar-pelajar terutama dalam bidang teknologi maklumat.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, pelajar mesti berpegang kuat dengan budaya untuk meningkatkan penguasaan ilmu kerana melalui kemajuan teknologi yang tinggi tahap keupayaan juga akan lebih besar. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment