My Add

Tuesday 13 March 2012

5 rakan, 2 adik-beradik didakwa cuba bunuh lelaki

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Mac, 2012: Lima rakan, dua daripadanya adik-beradik, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini terhadap tuduhan cuba membunuh seorang lelaki dengan membakarnya menggunakan minyak petrol, pada bulan lepas.

Bagaimanapun, Mohd. Nazrul Md Noor, 25 dan adiknya Mohd. Nazrin, 21 serta Mohamad Nor Akmal Tarmezi, 23; Muhammad Ammar Ashman Jamil, 21 dan Mohd. Firdaus Mohamad Sururi, 21 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Mohd. Nazrul yang merupakan penganggur dan Mohd. Nazrin yang bekerja di butik kasut, pelajar di sebuah institusi tempatan Mohamad Nor Akmal dan Muhammad Ammar serta penghantar surat Mohamad Firdaus dituduh cuba membunuh Muhammad Syahirudin Mohd. Shauki, 20, di Jalan Kampung Sepakat, Mukim Sungai Tengi, Gedangsa, Hulu Selangor dekat sini pada pukul 5.45 pagi, 26 Februari lepas.

Kesemua mereka yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ridha Abdah Subri memohon supaya mahkamah tidak mengenakan jaminan kepada kesemua tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

"Mangsa dalam kes ini masih tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal di wad ICU di Hospital Sungai Buloh kerana seluruh badannya terbakar,” katanya.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment