My Add

Thursday 8 March 2012

Akta Antartika peruntuk lebih perlindungan kepada penyelidik

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mac, 2012: Akta Antartika Malaysia yang sedang dirangka akan memperuntukkan lebih banyak perlindungan kepada ahli penyelidik Malaysia di Antartika, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili hari ini. 

Beliau berkata, akta berkenaan akan membolehkan Malaysia menyertai program penyelidikan pada tahap lebih tinggi, menyediakan garis panduan dan menggariskan peranan negara ini bagi melindungi Antartika.

"Draf akta ini sudah berada di Pejabat Peguam Negara... dan saya berharap dapat membentangkannya di Parlimen pada Jun," katanya kepada wartawan selepas melancarkan setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama Program Penyelidikan Antartika Malaysia (MARP) di Pusat Sains Negara di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof dan Pengerusi MARCP, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor. 

Antara peruntukan yang digubal dalam rang undang-undang itu adalah membenarkan rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan di Antartika dikenakan tindakan undang-undang Malaysia dan penyelidik yang berminat melakukan penyelidikan di benua itu boleh memohon permit daripada kementerian pada masa depan. 

Pada masa ini, penyelidik perlu memohon permit dari mana-mana negara mengikut program yang dilakukan bersama mereka. 

Ongkili berkata, kementerian juga sedang meneliti penubuhan Yayasan Penyelidikan Polar Tuanku Mizan bagi menyediakan biasiswa dan pembiayaan bagi rakyat tempatan melakukan program penyelidikan, yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa 60 hari.

"Yayasan ini adalah untuk menarik minat saintis muda untuk terbabit dalam program penyelidikan Antartika. Kedua, beri sokongan dana kepada program penyelidikan berdasarkan bidang keutamaan yang akan dibentuk, selain menambah minat pelajar dalam bidang Sains Antartika," katanya. 

Sebaik ditubuhkan, yayasan berkenaan akan menerima dana daripada kerajaan dan entiti swasta. 

Ongkili, berkata pembiayaan pada masa ini datang daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan MARP, Akademi Sains Malaysia dan beberapa universiti yang terbabit dalam program penyelidikan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment