My Add

Tuesday 6 March 2012

Biar Pas Pusat urus Kedah: Nik Aziz

KOTA BHARU, SELASA, 06 Mac, 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan adalah tidak wajar untuk beliau campur tangan soal pentadbiran kerajaan Kedah yang dilaporkan bergolak. 

"Urusan Kedah untuk orang Kedah. Saya tidak mahu komen," katanya.

Meskipun didesak pemberita mengenai kemelut pentadbiran Kedah, Nik Aziz tetap dengan pendirian untuk tidak akan campur tangan sebaliknya menyerahkan kepada Pas Pusat untuk menangani soal tersebut.

Isu dalaman kerajaan Kedah memaksa Pas Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu yang akan bertanggungjawab memantau Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mentadbir negeri itu. 

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang tetap mahu bertanding di Parlimen itu walaupun bukan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, Nik Aziz berkata tidak wajar untuk beliau menyentuh perkara itu. 

"Saya tak boleh ganggu dia (Tengku Razaleigh). Pas juga tidak akan ganggu dia. Tunggulah pada hari penamaan calon nanti," katanya. 

Dua hari lalu, Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang dilaporkan berkata beliau akan tetap bertanding di Parlimen Gua Musang sebagai calon bebas jika BN tidak lagi mencalonkannya. 

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan "Ku Li", adalah tokoh yang dihormati dan beliau adalah Ahli Parlimen paling lama berkhidmat iaitu selama 43 tahun mulai 1969. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment