My Add

Monday 12 March 2012

BN Bera perlu kerja lebih kuat, tawan semula DUN Triang:

BERA, ISNIN, 12 Mac, 2012: Parti komponen Barisan Nasional (BN) kawasan Bera perlu bekerja lebih keras mendekati rakyat dan mengetepikan hal remeh bagi menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang pada pilihan raya umum akan datang. 

Anggota Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata BN Bera perlu merampas kerusi DUN itu yang dipegang DAP selama lima penggal.

"BN tidak kira siapa calon pembangkang, matlamat kita merampas kembali kerusi itu. Saya yakin jika semua komponen BN terdiri daripada UMNO, MCA, GERAKAN dan MIC bersepadu kita boleh menang.

"DUN Triang 70 peratus pengundi Cina, 24 peratus Melayu dan baki, lain-lain tidak menjadi halangan untuk BN menang jika semua anggota bersatu dan bekerja keras sekali gus merampas semula kerusi DUN Triang itu," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata, demikian ketika berucap merasmikan kursus ejen mengundi kepada 400 anggota jentera pilihan raya komponen BN di Kompleks Rakan Muda, di sini, semalam. 

Ismail Sabri berkata, BN Bera harus mengambil peluang daripada peningkatan sokongan pengundi kepada kerajaan BN untuk menawan semula DUN Triang. 

"Walaupun sebahagian besar rakyat kawasan Triang berketurunan Cina, namun sokongan mereka terhadap BN kini semakin meningkat, lebih-lebih lagi apabila kerajaan berjaya membuktikan keadaan ekonomi negara yang semakin stabil. 

"Perubahan serta sokongan masyrakat Cina terhadap BN dapat diterjemahkan apabila semakin ramai masyarakat tersebut mengikuti ceramah, penerangan serta dialog yang dianjurkan BN sejak akhir-akhir ini yang mendapat sambutan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment