My Add

Sunday 11 March 2012

BN Gombak sumbang RM5,000 baik pulih surau

GOMBAK, SABTU, 10 Mac, 2012: Surau Hidayatullah, Pangsapuri Sri Mesra, Taman Industri Bolton di sini akhirnya menerima sumbangan berjumlah RM5,000 daripada Barisan Nasional (BN) Gombak bagi membaik pulih tempat berwuduk surau tersebut yang berada dalam keadaan daif.

Sumbangan itu sekali gus menamatkan penantian kariah surau berkenaan yang selama beberapa tahun sebelum ini mengharapkan bantuan tidak kunjung tiba daripada kerajaan negeri dan wakil rakyat mereka untuk beribadah dengan lebih selesa.

Penyelaras Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sumbangan tersebut diberi bagi memberi keselesaan kepada penduduk di pangsapuri tersebut.

“Saya lihat surau di sini sangat sempit, tidak mampu untuk memuatkan kariah di pangsapuri ini yang mempunyai lebih 200 keluarga.

“Bayangkan jika menjelangnya bulan Ramadan, pasti ramai yang mahu menggunakan surau ini untuk bertarawih. Pasti penduduk tidak selesa kerana keadaan surau ini yang sempit,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bernilai RM5,000 kepada Penasihat Surau Hidayatullah, Mastor Ibrahim pada majlis ringkas selepas solat Isyak di surau itu malam tadi.

Menurutnya, sumbangan itu juga merupakan salah satu usaha untuk mendekati rakyat di kawasan itu.

“Walau pun kawasan ini di bawah pentadbiran wakil rakyat parti lawan, namun itu tidak bermakna kami di pihak BN tidak mahu membantu penduduk di kawasan ini.

“Kami (BN) memegang konsep Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu rakyat didahulukan tanpa mengira ideologi politik,” katanya.

Tambahnya, pihaknya berharap penduduk di kawasan itu dapat memilih pemimpin yang tepat pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang agar keselesaan dan kebajikan mereka terjamin. - UYUSAN

No comments:

Post a Comment