My Add

Friday 9 March 2012

Cassa lapor SPRM tender kutipan sampah di Selangor

SHAH ALAM, JUMAAT, 09 Mac, 2012: Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dalam pemberian tender kutipan sampah di negeri Selangor.

Presiden Cassa, Datuk Dr. Jacob George berkata, pihaknya membuat laporan itu tanpa niat jahat sebaliknya untuk mendapatkan keadilan.

"Saya dicabar oleh pimpinan kerajaan negeri Selangor (untuk dedahkan dokumen) dan saya telah kemukakan dokumen berkaitan kepada SPRM,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di pejabat SPRM Selangor di sini.

Jacob dalam pada itu turut memberi tempoh 48 jam kepada kerajaan Selangor untuk membekukan tender kutipan sampah atau pihaknya akan mendedahkan perkara yang berlaku dalam pemberian kontrak berkenaan melalui siri ceramah di seluruh negeri itu.

Selain itu, beliau berkata selepas pendedahan yang dibuat pihaknya pada Rabu lepas, beliau menerima ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan ada pihak yang meletakkan sampah dengan pemetik api di atas keretanya.

Pada Rabu lalu, Cassa membuat laporan polis mengenai dakwaan salah guna kuasa dalam proses pemilihan kontraktor di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment