My Add

Wednesday 21 March 2012

Defisit fiskal terus berkurangan kepada 4.7% tahun ini

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Mac, 2012: Defisit fiskal kerajaan persekutuan dianggar terus berkurangan kepada 4.7 peratus tahun ini berbanding 5.0 peratus pada 2011 daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM). 

Dalam Laporan Tahunan 2011, BNM berkata kerajaan akan terus berusaha untuk mengimbangi antara pengukuhan fiskal dengan keperluan bagi menyokong inisiatif untuk mentransformasikan negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Dalam jangka sederhana, kerajaan akan terus komited untuk pengukuhan fiskal, kata BNM di mana kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif utama dalam Belanjawan 2012 bagi menjana pertumbuhan melalui pelaburan dan penggunaan sektor swasta.

Menurutnya, kerajaan turut memberi tumpuan utama kepada pelaksanaan inisiatif transformasi di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, Bidang Ekonomi Utama Negara dan Inisiatif Pembaharuan Strategik. 

Antara inisiatif untuk menggiatkan pelaburan adalah peningkatan inisiatif perkongsian awam-swasta yang sedia ada dan pelbagai inisiatif cukai yang diperkenalkan untuk memudahkan pembangunan projek berimpak tinggi, katanya. 

Dalam pada itu, BNM berkata kerajaan turut menawarkan inisiatif yang melibatkan penarikan penyertaan dan pelaburan asing dalam ekonomi melalui liberalisasi yang selanjutnya ke atas 17 subsektor perkhidmatan di mana ia membenarkan pemilikan asing 100 peratus. 

Daya saing sektor perkhidmatan dalam negeri dijangka dapat ditingkatkan menerusi inisiatif ini, katanya.

Sementara itu, BNM berkata, selain bantuan kewangan RM500 yang diberikan kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, kerajaan turut memperkenalkan skim SARA 1Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat Malaysia. 

Kerajaan juga telah memperuntukkan RM33.3 bilion dalam pelbagai bentuk subsidi, bantuan dan insentif berikutan jangkaan harga komoditi global yang terus meningkat serta impak terhadap kos sara hidup, kata BNM. 

Menurut laporan itu, pungutan hasil dijangka meningkat kepada RM186.9 bilion, yang dipacu oleh pentadbiran cukai yang lebih baik serta peningkatan pungutan cukai. 

Sebanyak RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi terus menyokong pertumbuhan negara. 

Oleh kerana tabungan dalam negeri yang tinggi dan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dalam sistem kewangan, BNM berkata kerajaan akan terus membiayai defisit fiskal dari sumber dalam negeri, terutamanya melalui terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment