My Add

Thursday 15 March 2012

Dirang muncul dalam mimpi

ROSELYN (dua dari kanan) melihat mayat Nurul Nadirah buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian, Masai, semalam

Oleh Nor Hazwani Hamat dan Mohd Fahmi Mohd Yusof

PASIR GUDANG, RABU, 14 Mac, 2012: Kematian Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang secara tragis menyebabkan keluarganya merancang untuk berpindah dari kediaman mereka di Flet Seri Delima, Masai, di sini, selepas sering terbayang kanak-kanak malang itu.

 "Saya dan suami akan berbincang tetapi belum mengetahui lokasinya. Saya masih ingat sering marah-marah apabila Dirang suka menonton kartun Upin dan Ipin serta Barbie," kata Roselyn Alan, 25, ketika ditemui di rumahnya selepas anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Masai, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, kehadiran Dirang dalam mimpi Roselyn awal pagi semalam, memberi kekuatan kepada ibunya untuk menerima dengan reda kematian anak keduanya itu. 

Roselyn berkata, dalam mimpinya awal pagi semalam, Dirang dilihat hanya memakai seluar pendek biru sedang memeluknya dan mencium berulang kali. 

"Dirang muncul dalam mimpi, dia memeluk dan mencium saya sambil berkata 'mak, kau cari aku ke? Saya kemudiannya menjawab dan bertanya kenapa dia tidak balik tetapi Dirang meminta supaya saya tidak bersedih kerana beliau dalam keadaan baik.

"Selepas itu Dirang memeluk saya dan pada masa yang sama saya juga cuba memeluknya tetapi dia terus hilang sebelum saya terjaga daripada tidur kira-kira jam 3 pagi," katanya. 
ROSELYN ALAN menunggu untuk menuntut mayat Dirang di Rumah Mayat Hospital Sultanah Aminah, semalam. 


Roselyn berkata, walaupun bersedih dengan kehilangan Dirang, beliau reda dan menerimanya sebagai ketentuan Allah dan sebagai orang Islam menganggapnya sebagai dugaan hidup. 

"Mungkin sudah takdir begitu, walaupun Dirang sudah pergi tetapi sekurang-kurangnya saya dapat tengok dia (dalam mimpi). Saya terima dengan reda pemergian Dirang, sebagai orang Islam saya perlu menerimanya sebagai ketentuan dalam hidup," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk penduduk dan polis yang membantu mengesan Dirang serta menguruskan pengebumiannya. 

Sementara itu, suasana pilu dan hujan renyai mengiringi pengebumian Dirang yang dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk ibu serta bapa kandungnya yang berusia lingkungan 30-an dengan tangan bergari kerana ditahan reman bagi membantu siasatan. 

Lelaki itu dengan diiringi tiga anggota polis dilihat menangis dan diberi kesempatan untuk menyiram air mawar di pusara anak. 

Lebih memilukan apabila orang ramai turut mengalirkan air mata melihat keadaan Roselyn yang menangis sebaik saja talkin dibacakan oleh Imam Masjid Nur Hidayah, Abdul Rahman Ismail. 

Terdahulu, Roselyn yang berbaju kurung dan tudung merah jambu bersama ibunya, Milnah Jul, 52, serta beberapa ahli keluarganya tiba di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) kira-kira jam 9.50 pagi bagi menguruskan jenazah anaknya. 

Sejurus itu, bapa kandung Dirang dengan berbaju lokap dan tangan bergari turut memasuki bilik mayat dan selepas hampir 10 minit, beliau keluar dalam keadaan sugul sebelum dibawa pasukan polis beredar. 

Bapa Dirang kini ditahan reman sehingga 19 Mac ini bagi siasatan lanjut kematian anaknya. Difahamkan kehadiran lelaki itu di Unit Forensik HSA adalah permintaan keluarga Dirang bagi membolehkannya menatap kali terakhir jenazahnya sebelum dikebumikan. 

Jenazah Dirang dimandi, dikafankan dan disembahyang kakitangan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebelum dibawa ke Masjid Nur Hidayah untuk disembahyangkan. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment