My Add

Tuesday 20 March 2012

Disoal SPRM 7 jam isu SMS NFCorp

PUTRAJAYA, SELASA, 20 Mac, 2012: Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail, memberi keterangan hampir tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung kira-kira 50 khidmat pesanan ringkas (SMS) antara beliau dan Pengarah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Beliau dipanggil memberi keterangan selepas membuat laporan di Balai Polis Klang, Disember lalu, bagi menafikan dakwaan pernah cuba memberi rasuah kepada polis berhubung siasatan kes Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Shamsubahrin tiba di SPRM jam 10.30 pagi ditemani empat peguam, termasuk Latheefa Koya, Murnie Hidayah Anuar, Zarina Ismail, untuk memberi keterangan kepada SPRM dan dilihat keluar pejabat suruhanjaya itu kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Shamsubahrin berkata, dia menggunakan telefon bimbitnya bagi membuat dan menyimpan salinan semua SMS yang dihantar dan diterimanya daripada Mohamad Salleh, yang secara automatik disimpan dalam satu e-mel berasingan miliknya.

"Telefon itu sudah diserahkan kepada SPRM sebaik saya ditahan akhir tahun lalu tetapi saya tidak tahu kenapa ia dikembalikan semula selepas pembebasan saya sedangkan semua maklumat ada di dalam telefon bimbit berkenaan," katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata pegawai SPRM menyoal Shamsubahrin berhubung SMS antara beliau dengan Mohamad Salleh.

Pada 30 Disember lalu, Shamsubahrin, yang juga Ketua Eksekutif Syarikat Resources Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menipu Mohamad Salleh dengan menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat yang tidak benar bagi memperdaya mangsa untuk membayar RM1.755 juta antara November hingga awal Disember tahun lalu. 

Bagi pertuduhan kedua, Shamsubahrin didakwa menipu dengan memperdaya dan mendorong Mohamad Salleh, yang juga Pengerusi Eksekutif NFC, supaya menyerahkan cek berjumlah RM1.755 juta kepadanya di kawasan Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur antara 25 November dan 6 Disember 2011.

Sementara itu, Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) mendapati NFCorp masih belum memulakan pembayaran balik pinjaman kerajaan berjumlah RM250 juta yang sepatutnya bermula Januari lalu.

Bercakap pada sidang media di bangunan Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat PAC, semalam, Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata memang ada jadual pembayaran balik disediakan tetapi berikutan kontroversi NFC pembayaran balik belum dibuat lagi.

Pada 12 Mac lalu, Dr Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta milik syarikat itu.

Azmi berkata, PAC akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi NFCorp di bangunan Parlimen, hari ini, bagi menyiapkan laporan isu berkenaan.

"Siasatan PAC berhubung isu NFCorp tidak bertindih dengan pendakwaan di mahkamah kerana kami memberi penekanan mengenai sistem tawaran dan pemantauan sesebuah projek.

“Kita sedia maklum sesetengah perkara dalam kes ini mungkin subjudis, namun ini bukan kali pertama kita membangkitkan kes sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya. - BEITA HARIAN

No comments:

Post a Comment