My Add

Sunday 4 March 2012

ECER: Kelantan ketinggalan kerana kurang keperluan asas

BACHOK, AHAD, 04 Mac, 2012: Kelantan dijangka terus ketinggalan dalam usaha menarik pelabur domestik dan asing ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) jika keperluan asasnya tidak dipenuhi, kata Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Husin. 

Beliau berkata, bekalan air bersih berkualiti dan jalan raya adalah keperluan asas hakiki bagi pelabur terutama kilang elektronik.

"Setakat ini, Kelantan gagal menyediakan suasana mesra pelaburan dan kebelakang jika dibandingkan dengan Mersing, Pahang dan Terengganu dalam ECER," katanya kepada pemberita pada majlis kecemerlangan pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Bachok di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru ECER bahawa Kelantan hanya mendapat pelaburan bernilai RM500 juta daripada sembilan projek pelaburan iaitu RM5.5 bilion di Mersing (Johor), RM2 bilion di Pahang dan RM1 bilion di Terengganu. 

Dr Awang berkata, kajian tiga tahun lalu mendapati pada 2010, Kelantan hanya menerima 0.3 peratus pelaburan berbanding dengan negeri lain. 

"Peratusan itu tidak berubah sehingga sekarang disebabkan faktor asas itu gagal diwujudkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS dan terus ketinggalan dalam arus pembangunan perdana jika pentadbiran kerajaan negeri tidak ditukarkan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih mampu," katanya. 

Dr Awang Adek berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Pusat menyekat pelaburan adalah tidak berasas kerana masalah itu berpunca daripada kegagalan kerajaan PAS menarik pelaburan.

"ECER hanya satu badan untuk mempermudahkan cara (pelaburan) manakala pelabur diberi kebebasan untuk memilih di mana negeri yang mereka suka untuk menanam modal," katanya. 

Dr Awang berkata, kerajaan tidak boleh memaksa pelabur membuat pelaburan di sesebuah negeri kerana ia satu amalan yang tidak baik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment