My Add

Friday 23 March 2012

Ekspo perkahwinan dan fesyen Gerbang Cinta dibuka

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

PUTRAJAYA, JUMAAT, 23 Mac, 2012: Peraduan Gerbang Cinta Utusan yang memasuki musim ke-3 anjuran Mega Utusan Malaysia menampilkan kelainan apabila buat kali pertama mengadakan ekspo perkahwinan dan fesyen.

Bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), ekspo berkenaan dirasmikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Othman Mohamad dan Pengarang Mega, Aznan Bakar hari ini.

Lebih 100 gerai pameran dibuka di ekspo yang berlangsung selama tiga hari itu yang mendapat kerjasama pengusaha butik pengantin, andaman, cenderahati, kad kahwin, studio fotografi dan video grafik, serta kek dan pastri.

Selain pameran dan jualan berkaitan perkahwinan, pengunjung juga berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti lain termasuk ceramah kesihatan dan kekeluargaan, demonstrasi solekan, masakan dan gubahan.

Turut berlangsung pertunjukan fesyen himpunan koleksi dari Shahwadi, Jessemine Couture, Dios Astana Bridal, Julie Bridal House dan pertunjukan khas dari penganjur bersama ekspo, Jamu Mak Dara.

Manakala artis termasuk Farhan, Haziq dan Monoloque juga dijadualkan membuat persembahan di ekspo tersebut.

Pengunjung yang membeli mana-mana produk terbitan Kumpulan Utusan berpeluang untuk mendapat kupon cabutan bertuah dan 500 pengunjung pertama berpeluang memenangi produk eksklusif.

Ekspo bermula seawal pukul 10 pagi dan tamat pada pukul 10 malam setiap hari sepanjang pameran tiga hari itu.

Selepas Putrajaya, pihak penganjur turut merancang untuk mengadakan dua lagi ekspo di zon utara dan selatan Semenanjung menjelang Jun nanti. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment