My Add

Wednesday 14 March 2012

FAM hantar surat gesa FIFA mohon maaf - Aizuddin

PETALING JAYA, RABU, 14 Mac, 2012: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) memohon maaf terhadap dakwaan tidak berasas bekas Ketua Pegawai Keselamatannya, Chris Eaton yang mengaitkan FAM dengan kes mengatur perlawanan Liga Malaysia, baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Aizuddin Ahmad hari ini berkata, gesaan itu dibuat oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melalui sepucuk surat kepada Presiden FIFA menerusi khidmat DHL Express, emel dan faks, semalam.

"Semalam Tuanku telah mengutus sepucuk surat kepada Presiden FIFA supaya memohon maaf atas kenyataan yang dibuat oleh Eaton baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pencapaian Malaysia kepada Ketua Jurulatih Kebangsaan, Datuk K. Rajagopal di Wisma FAM di sini.

Tengku Abdullah sebelum ini dalam kenyataannya menganggap dakwaan Eaton sebagai tidak berasas dan tidak beretika serta akan mengambil tindakan susulan walaupun tiada fakta yang membuktikan perkara itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan bulan lepas, Eaton mendakwa pegawai pentadbiran FAM turut terlibat dalam gejala mengatur perlawanan termasuk yang membabitkan kelab bola sepak republik Singapura, Lions XII dengan Negeri Sembilan di Singapura baru-baru ini yang menyaksikan Lions XII menang 3-1. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment