My Add

Wednesday 21 March 2012

FGVH yakin nilai untung luar negara 2011 lepasi rekod 2010

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Mac, 2012: Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yakin nilai keuntungan sebelum cukai untuk operasi luar negara syarikat itu bagi 2011 bakal melepasi angka 2010, yang disokong oleh harga komoditi yang kukuh. 

"Insya-Allah, ia sekarang sedang diaudit," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabri Ahmad kepada pemberita di sini hari ini.
Operasi luar negara FGVH mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM203 juta pada 2009 dan RM366 juta pada 2010.

Sementara itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata semua dokumen yang diperlukan untuk proses penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, termasuk akaun yang telah diaudit, telah dihantar kepada Suruhanjaya Sekuriti. 

"Kita takkan memohon penyenaraian kalau tak cukup syarat. Kalau tak untung takkanlah kita nak pergi (penyenaraian). Kita yakin Felda Global sudah bersedia dan dengan kemampuan kita untuk mengendalikan dengan baik sesudah disenaraikan nanti," katanya. 

Selain juruaudit dalaman, Mohd Isa berkata akaun FGVH turut diaudit oleh juruaudit luar, PricewaterhouseCoopers (PwC). 

"Yang penting, kita akan memenuhi semua keperluan untuk membolehkan kita disenaraikan dengan kerjasama bank saudagar dalam dan luar negara iaitu CIMB, Maybank, JP Morgan, Deutsche Bank dan Morgan Stanley. Semuanya berpengalaman luas menguruskan penyenaraian," katanya.

Beliau berkata FGVH berharap dapat disenaraikan menjelang Mei atau Jun (ini). 

Sementara itu, Mohd Isa berkata pihaknya akan membuat laporan polis esok 
berkaitan kebocoran dokumen terperinci yang didakwa dimiliki oleh pembangkang. 

"Esok, kita akan membuat laporan polis atas kebocoran atau ketirisan ini. Biar pihak polis yang menyiasat. Kita pun tak tahu apa kandungan yang ditunjuk, betul ke minit mesyuarat? Jadi kita membuat andaian adanya ketirisan. Di samping kita buat siasatan dalaman, kita buat laporan polis supaya mereka boleh buat siasatan rapi " katanya. 

Beliau menyifatkan perkara ini adalah usaha pihak pembangkang menghakis kepercayaan peneroka dalam usaha menyenaraikan FGVH. 

"Sepatutnya, pihak yang mendakwa itu dedahkan semua, siapa yang menghantar, apa kandungannya," katanya. 

Katanya, Felda akan pastikan pengawalan dokumen sulit lebih ketat dan ketirisan tidak berlaku. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment