My Add

Sunday 11 March 2012

Gagal kutip sampah, tiada lori

Oleh AZIAN AZIZ 

SHAH ALAM. SABTU, 10 Mac, 2012: Kira-kira 15 sehingga 20 peratus kontraktor pengutipan sampah yang baru dilantik di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mungkin ditamatkan perkhidmatan jika didapati terus gagal melaksanakan tugas sebagaimana yang diamanahkan.

Ini bermakna jika di sesebuah PBT seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang telah melantik 50 kontraktor, sebanyak lapan hingga 10 daripada kontraktor terbabit bakal ditamatkan perkhidmatan.

Tiga PBT disenaraikan menghadapi masalah pengutipan sampah yang teruk ialah Selayang, Petaling Jaya dan Subang Jaya manakala Sepang dan Hulu Selangor tidak menghadapi sebarang masalah.

Pelantikan kesemua kontraktor berkenaan baru dibuat oleh PBT di negeri ini pada 1 Mac lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, kesemua kontraktor berkenaan yang telah dikenal pasti oleh pihaknya diberi tempoh sehingga minggu depan untuk memperbaiki prestasi mereka.

Beliau berkata, jika gagal, kesemua mereka akan ditamatkan perkhidmatan dan diganti dengan kontraktor yang baru.

"Mereka dilantik melalui tender terbuka dan terpilih selepas kami mendapatkan maklumat termasuk modal yang mereka ada. Namun, selepas dilantik ada kontraktor yang menghadapi masalah, antaranya gagal mendapatkan lori untuk mengangkut sampah.

"Jika mereka gagal menyelesaikan masalah dihadapi, kami akan tamatkan perkhidmatan mereka," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohammed Khusrin juga mengakui masalah pengutipan sampah berlaku ekoran proses peralihan kontraktor baru yang masih tidak biasa atau belum mengenali kawasan mereka ditugaskan.

"Sebab itu kami beri mereka masa untuk memperbaiki kelemahan mereka hingga minggu depan," tegas beliau.

Ditanya tidakkah masalah pengutipan sampah di Selangor akan lebih teruk jika kontraktor yang baru dilantik ditamatkan perkhidmatan, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya telah mempunyai kontraktor sokongan bagi menggantikan mereka yang didapati gagal menjalankan tugas dengan berkesan.

Kemelut masalah pengutipan sampah di negeri ini bermula apabila pentadbiran Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan pembersihan awam yang dikendalikan oleh Alam Flora Sdn. Bhd. pada tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment