My Add

Sunday 11 March 2012

Gubal undang-undang haramkan pemburuan ikan yu

KOTA KINABALU, AHAD, 11 Mac, 2012: Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye meminta kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang bagi mengharamkan pemburuan Ikan Yu di perairan negara.

Lam Thye membuat saranan itu berikutan laporan yang memetik sekumpulan pencinta alam dari Sabah berhubung pembunuhan berleluasa serta tidak berperikemanusiaan Ikan Yu untuk siripnya di perairan Sabah.

Beliau berkata, laporan yang mengesahkan Ikan Yu dibunuh atau dipotong siripnya di kawasan pantai sebelum dibuang semula ke kawasan laut berhampiran Sipadan, yang terkenal sebagai syurga penyelam, amat menjijikkan.

"Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu perlu dihentikan. Penyelam telah memfilemkan bangkai Ikan Yu dipotong siripnya ketika menyelam di kawasan popular sekitar Sipadan serta Mabul, dan perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Saya bersetuju dengan pandangan badan bukan kerajaan Sabah iaitu Yayasan Konservasi Borneo bahawa pembunuhan tidak berperikemanusiaan Ikan Yu ini memberi imej buruk terhadap Sipadan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye juga berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah menurut kumpulan pencinta alam itu, anggota mereka telah menyaksikan sendiri perbuatan memotong sirip Ikan Yu setiap dua hingga tiga hari dalam tempoh 12 bulan lepas, dan secara purata, lebih 50 ekor ikan tersebut dilihat mati setiap hari.

Justeru beliau berkata, sudah tiba masa pihak berkuasa di Sabah mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah itu.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment