My Add

Thursday 15 March 2012

Guru agama bebas tuduhan edar dadah

5KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 1 Mac, 2012: Seorang guru sekolah menengah agama terlepas daripada hukuman gantung selepas dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 347.6 gram tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohd Nazri dan Masriwani Mahmud, gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Karin Mohammad, 40.

Abdul Karin, yang diwakili peguam bela Ghazali Ismail dan Mazlan Mat Zin, berjaya meyakinkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan pemilikan rumah atau lokasi dengan dirinya.

Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting dalam kes itu.

Abdul Karin, bapa kepada tiga orang anak, dituduh mengedar dadah itu di sebuah rumah di Jalan Hiliran Kuala Terengganu di sini pada 1 pagi 6 April 2011.

Selepas Hakim Mohd Yazid membuat keputusan itu, tertuduh menangis sambil memeluk ahli keluarganya yang termasuk isterinya, Fauziah Abdul Rahman, 40, dan tiga anak mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment