My Add

Wednesday 21 March 2012

Hishammuddin nafi keluar surat kelulusan khas 6P

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Mac, 2012: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini menafikan ada mengeluarkan surat kelulusan khas bagi proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang sudah diguna oleh pihak tertentu untuk mengutip wang. 

Hishammuddin menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan surat berkenaan sambil memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan mengggunakan dokumen tersebut.

"Tidak ada surat daripada Menteri Dalam Negeri yang mengizinkan mana-mana pihak untuk membawa pekerja asing tanpa melalui proses yang sepatutnya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Hishammuddin mengulas laporan mengenai kewujudan surat yang kononnya ditandatangani oleh beliau dan kini dijadikan modal oleh pihak tertentu di Cameron Highlands untuk mengutip wang daripada majikan, khususnya pemilik ladang teh dan pekebun sayur. 

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk mempercepatkan proses kelulusan permohonan pekerja asing daripada mana-mana kementerian yang memerlukan.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang, tanpa menjejaskan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan keselamatan nasional. 

Katanya, kementerian yang memerlukan khidmat pekerja asing dalam sektor tertentu perlu memaklumkan dan mengesyorkan sendiri kepada KDN tentang keperluan masing-masing.

"Saya rasa ini lebih tepat kerana tidak mungkin KDN tahu apa sebenarnya keperluan di sektor pertanian, perladangan, pelancongan dan pembinaan. 

"Jadi biarlah kementerian yang bertanggungjawab, yang ada kemahiran, yang ada hubungan dengan syarikat berkenaan syorkan kepada kita sendiri untuk mempastikan pemprosesan permohonan itu berjalan dengan lancar," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment