My Add

Saturday 17 March 2012

Hubungan dengan badan Yahudi bukan rekaan – Zahrain

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Mac, 2012: Selepas sebuah blog mendedahkan surat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara, seorang ahli Parlimen hari ini memberitahu Dewan Rakyat mengenai hubungan pembangkang dengan pihak asing serta campur tangan mereka dalam politik tempatan.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) berkata, pendedahannya bukan satu rekaan sebaliknya beliau mempunyai bukti kukuh berhubung perkara tersebut khususnya melibatkan gerak kerja pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, beliau berkata, anasir-anasir asing itu mula bergiat ketika berlakunya beberapa pilihan raya kecil dan sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu.

“Saya mencabar pemimpin PKR untuk menafikan yang modul serta gerak kerja pilihan raya mereka disusun dan diolah oleh dua badan asing yang ada kaitan dengan puak Yahudi iaitu Konrad Adeneur Foundation (KAF) dan National Democratic Institute for International Affair (NDI).

“Kedua-dua badan yang nyata mempunyai hubungan begitu akrab dengan pelobi Yahudi antarabangsa berperanan menyediakan gerak kerja bagi PKR menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Zahrain berkata, begitu juga dengan bahan latihan dan kempen pilihan raya PKR, ia disediakan dengan bantuan serta tajaan pihak asing.

“Wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan parti politik juga telah dilatih di luar negara mengenai cara-cara untuk menentang kerajaan. Salah satu latihan khusus mereka adalah bagaimana untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Helah atau topeng yang selalu digunakan adalah kononnya perjuangan mereka adalah untuk menegakkan demokrasi, kebebasan serta hak asasi manusia,” katanya.

Hakikatnya, beliau berkata, penglibatan pihak asing terutama badan-badan pelobi Yahudi dalam urusan politik tanah air adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana ia mampu menjerumuskan rakyat ke kancah konflik sesama sendiri.

“Seperti yang diingatkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, kita harus berwaspada akan kuasa asing yang mempergunakan NGO untuk menghasut rakyat dan menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, pada awal sesi perbahasan, Zahrain menyentuh mengenai bahaya politik songsang terutama kepada perpaduan, keselamatan serta kemakmuran negara.

“Politik songsang berasaskan nafsu gila kuasa yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat kini telah menjadi mainan harian. Segelintir manusia yang kemaruk kuasa dan ingin menguasai Putrajaya walau dengan apa cara sekalipun sedang giat memperluaskan budaya politik songsang ini,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment