My Add

Wednesday 21 March 2012

Hutang isi rumah akan terus dipantau rapi: Bank Negara

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Mac, 2012: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau rapi perkembangan paras dan profil hutang isi rumah negara dengan langkah-langkah yang sudah diambil akan terus menambah baik daya tahan sektor berkenaan.

BNM berkata setelah mengalami peningkatan yang berterusan sejak 2009, hutang isi rumah berkembang pada kadar yang lebih sederhana apabila langkah yang diperkenalkan olehnya sebelum ini telah meninggalkan kesan.

BNM, di dalam Laporan Kestabilan Kewangan Dan Sistem Pembayaran 2011 yang dikeluarkan hari ini, berkata paras hutang isi rumah sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mendatar sejak bulan Jun 2011 dan mengakhiri 2011 pada kadar 76.6 peratus (2010: 75.8 peratus).

"Dari segi kewangan, isi rumah di Malaysia secara umumnya kukuh, dengan penampan kewangan yang teguh untuk membayar balik hutang dan melindungi dari pendapatan yang berubah secara mendadak," katanya. 

BNM berkata keupayaan membayar balik hutang oleh isi rumah terus disokong oleh keadaan guna tenaga yang menggalakkan dan peningkatan pendapatan, dengan pinjaman tertunggak terus menurun dan nisbah pinjaman terjejas berada pada paras terendah sejak 2000. 

Menurut laporan itu, hutang perumahan merupakan dedahan pinjaman terbesar merangkumi 26 peratus daripada jumlah kredit yang dikeluarkan oleh sistem perbankan. 

Ia diikuti oleh kenderaan pengangkutan 15 peratus, harta bukan kediaman dan kegunaan peribadi masing-masing sebanyak 5.0 peratus, kad kredit serta pembelian sekuriti masing-masing 3.0 peratus, katanya. 

Menurut BNM jumlah jejas nilai bagi pinjaman yang dikeluarkan untuk pembelian harta kediaman juga menurun untuk tahun keempat berturut-turut sebanyak 17.9 peratus untuk mencakupi 2.3 peratus daripada jumlah pinjaman harta kediaman. 

"Meskipun peminjam dari golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan pusat bandar menghadapi cabaran lebih besar dalam mengurus obligasi kewangan mereka, dengan kedudukan pengambilan pinjaman yang lebih tinggi dan keupayaan terhad untuk menabung, mereka terus merangkumi bahagian yang secara relatifnya kecil dalam pinjaman sistem perbankan." 

Katanya tumpuan dedahan bank kepada peminjam yang berpendapatan bulanan sebanyak RM3,000 dan ke bawah adalah agak rendah iaitu kurang daripada 13 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan. 

BNM juga berkata berdasarkan fakta masa lampau, tahap jejas nilai dan peruntukan, sebarang kerugian jejas nilai kepada sektor perbankan tidak akan melebihi RM2 bilion atau kurang 8.0 peratus daripada keuntungan sebelum cukai bank perdagangan dan institusi perbankan Islam. 

Sementara itu, pemberian pinjaman kepada individu yang berpendapatan lebih daripada RM3,000 sebulan mencakupi kira-kira 80 peratus daripada jumlah pinjaman kepada isi rumah oleh sistem perbankan. 

BNM berkata pematuhan berterusan oleh bank terhadap amalan pengunderaitan yang kukuh dengan disokong oleh langkah awalan yang diambil kerajaan dan bank pusat untuk menangani tekanan yang muncul dalam kalangan segmen yang lebih mudah terjejas dalam sektor isi rumah, telah menghadkan lagi pengumpulan risiko yang berlebihan dalam sektor isi rumah. 

Keadaan itu juga ditangani oleh penyeliaan rapi BNM terhadap amalan pemberian pinjaman oleh institusi perbankan individu serta ketersediaan mekanisme penyelesaian hutang yang telah sedia ada untuk membantu peminjam yang mengalami kesulitan kewangan. 

Kes kebankrapan juga menunjukkan corak yang sederhana dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, khususnya pada 2011 apabila bilangan kes meningkat pada kadar 5.8 peratus (19,167 kes baharu) berbanding 11.7 peratus (18,119 kes baru) pada tahun sebelumnya. 

Kes baru ini hanya mencakupi 0.3 peratus daripada jumlah peminjam bank, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment