My Add

Saturday 10 March 2012

INPUMA: Ekonomi isu utama rakyat tingkat kualiti hidup

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Mac, 2012: Seramai 37.3 peratus responden bersetuju ekonomi adalah antara isu utama bagi rakyat Malaysia dengan menganggap usaha mempertingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah sebagai agenda penting dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). 

Menurut hasil kajian daripada Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya sebanyak 86.6 peratus responden menyatakan kenaikan harga barang keperluan bakal menjadi isu utama pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kajian yang dijalankan oleh INPUMA bertajuk "Ekonomi dan Urus Tadbir Kerajaan" ini telah dijalankan pada tahun lepas bagi meninjau pandangan dan mendapatkan maklum balas masyarakat terhadap inisiatif serta dasar kerajaan dan juga isu semasa yang berkaitan.

Seramai 2,480 orang responden yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, golongan isi rumah, kakitangan kerajaan dan swasta dari Johor, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak. 

Dalam kenyataannya hari ini, INPUMA menjelaskan kajian juga menunjukkan isu ekonomi merupakan antara isu utama negara di mana lebih 24 peratus responden berpendapat sedemikian. 

"Isu lain yang berkaitan ekonomi iaitu inflasi, mencatatkan jumlah responden yang kedua tertinggi iaitu hampir 48 peratus, diikuti isu gaji rendah sebanyak 36 peratus dan pengangguran 14.6 peratus," katanya. 

Jelasnya lagi, 70.4 peratus responden bersetuju perumahan akan menjadi isu utama pada PRU yang akan datang. 
"Sebagai salah satu keperluan asas, perumahan menjadi isu penting kepada rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos barang keperluan lain yang menyukarkan ramai orang untuk memiliki rumah," katanya. 

Selain itu, ia berkata turut terdapat rungutan mengenai kekurangan perumahan kos rendah dan mampu milik yang amat terhad di kawasan bandar, manakala pemaju pula dikatakan lebih berminat untuk membangunkan kawasan perumahan mewah atau elit. 

"Namun, apa yang menarik ialah kebanyakan daripada responden tidak menyalahkan kerajaan. 

"Begitu juga di sebalik pelbagai aduan mengenai kekurangan dan kelemahan yang wujud, responden masih mempunyai tanggapan yang positif terhadap cara kerajaan negeri dan persekutuan mengurus ekonomi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment