My Add

Thursday 15 March 2012

Istana Negara lama kekal warisan negara: Rais

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Mac, 2012: Bangunan utama Istana Negara lama dikekalkan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan untuk dilawati dengan mengekalkan segala peralatan dan hiasan. 

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. Datuk Seri Dr Rais Yatim. berkata keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 18 Januari lalu.

Kementerian juga bercadang menubuhkan Galeri Institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan di bangunan belakang memandangkan Istana Negara lama menjadi tempat bersemayam 13 Yang di-Pertuan Agong sejak kemerdekaan negara pada 1957, katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rais berkata, Istana Negara lama juga akan digunakan untuk penganjuran acara seperti MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) yang bertaraf eksklusif. 

Mengenai aspek pemilikan, beliau berkata bangunan Istana Negara lama kekal sebagai hak milik kerajaan tetapi dicadang untuk diuruskan oleh pihak swasta secara permohonan bersama cadangan. 

"Buat masa ini, kos perbelanjaan penyelenggaraan dan pembersihan bangunan ditanggung oleh kementerian sehingga ianya diberi kepada syarikat yang berjaya," katanya. 

Istana Negara lama diserahkan secara rasmi kepada kementerian itu pada 21 Februari lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment