My Add

Friday 23 March 2012

JAS buat persiapan awal hadapi musim panas dan kering

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Mac, 2012: Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama beberapa agensi lain sedang melaksanakan program pencegahan kebakaran di tanah gambut sebagai langkah pencegahan dan persiapan awal menghadapi musim panas dan kering.

Ia melibatkan beberapa kawasan tanah gambut berisiko tinggi berlaku kebakaran di enam negeri iaitu Pahang, Johor, Selangor, Kelantan, Sarawak dan Sabah, kata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataan hari ini.

"Program ini merangkumi aktiviti pembinaan sekatan saliran dan telaga air tanah bagi tujuan mengawal paras air di kawasan tanah gambut, serta pembinaan menara tinjau bagi pemantauan secara berterusan sebarang aktiviti pembakaran terbuka,” katanya.

JAS melaksanakan program itu dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan Semenanjung serta Jabatan Perhutanan Negeri Sabah dan Negeri Sarawak.

Sehingga 19 Mac, 320 kes pembakaran terbuka dikesan dengan 56 kompaun dan 23 notis arahan dikeluarkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment