My Add

Monday 12 March 2012

Jenayah: Malaysia, India meterai perjanjian bantuan bersama

PUTRAJAYA, ISNIN, 12 Mac, 2012: Malaysia dan India hari ini menandatangani perjanjian untuk merumuskan mekanisme formal dua hala bagi pengumpulan keterangan yang relevan bagi tujuan penyiasatan dan prosiding jenayah tanpa menjejaskan mekanisme formal sedia ada.

Jabatan Peguam Negara (AG) dalam satu kenyataan hari ini berkata majlis pemeteraian perjanjian itu berlangsung di Jabatan Peguam Negara dengan Malaysia diwakili Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail manakala kerajaan India diwakili Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Luarnya, Sanjay Singh.

Mengikut perjanjian itu, kedua-dua negara bersetuju untuk saling bekerjasama menghulurkan apa juga bantuan yang diperlukan berhubung dengan penyiasatan dan prosiding berkaitan dengan perkara jenayah.

Perjanjian itu juga bertujuan meningkatkan bantuan bersama sedia ada dalam mekanisme berkaitan perkara jenayah sama ada secara formal atau tidak formal, mengikut undang-undang domestik setiap negara.

Ia juga meliputi skop bantuan lebih luas termasuk pengambilan keterangan dan bukti menerusi proses kehakiman; pengambilan kenyataan seseorang individu secara sukarela; pembekalan dokumen relevan, rekod dan barangan; dan mengaturkan untuk seseorang membantu dalam penyiasatan atau tampil sebagai saksi.

Selain kerjasama tidak formal sedia ada antara mekanisme agensi dengan agensi, perjanjian itu akan mempermudahkan lagi pengumpulan bukti dan usaha mendapatkan balik serta penghantaran hasil keuntungan daripada jenayah itu yang biasanya perlu mendapatkan perintah mahkamah mengikut undang-undang negara yang memohonnya.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment