My Add

Sunday 11 March 2012

JPS digesa atasi segera masalah banjir di Hulu Langat

JOHAN Aziz (tiga kanan) mengagihkan botol minuman kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara berikutan kejadian banjir kilat yang melanda Hulu Langat, Selangor, kelmarin.

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Mac, 2012: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa segera membina kolam tebatan banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat bagi memastikan masalah banjir di kawasan itu tidak berulang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, kegagalan pihak bertanggungjawab membina kolam berkenaan sekali gus meletakkan penduduk terus hidup dalam kebimbangan.

Beliau menjelaskan, pihaknya memahami kemungkinan banyak isu timbul termasuk pengambilan tanah yang merupakan di bawah kuasa kerajaan negeri dan soal pembayaran pampasan sekiranya pembinaan diteruskan, namun kepentingan rakyat harus diutamakan.

"Jika kolam itu tidak dapat dibina, JPS perlu mencari alternatif lain bagi mengatasi masalah banjir di kawasan ini," katanya ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian banjir teruk di sekitar Hulu Langat semalam.

Menurutnya, banjir kali ini adalah yang terburuk selepas kejadian banjir pada tahun 1971, diikuti banjir pada tahun 2010.

Pada hujung tahun lepas, banjir kilat melanda bandar Kajang di Hulu Langat sehingga menyebabkan banyak kenderaan rosak, manakala kedai-kedai dinaiki air.

Terdahulu Johan bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai untuk menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas seperti selimut dan makanan.

Beliau berkata, SK Sungai Serai merupakan antara tujuh penempatan sementara yang mencatatkan jumlah paling tinggi menempatkan mangsa banjir.

"Kira-kira 1,000 mangsa ditempatkan di dewan sekolah ini. Bagaimanapun kebanyakan mangsa banjir telah pulang ke rumah masing-masing pagi tadi bagi membersihkan kediaman masing-masing.

"Bagaimanapun bagi mangsa yang kediaman mereka musnah sama sekali masih menetap di penempatan sementara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment