My Add

Thursday 15 March 2012

Kad diskaun mahasiswa diperkenal sebelum Jun: Ismail Sabri

BANGI, KHAMIS, 15 Mac, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memperkenalkan kad diskaun kepada mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum bulan Jun tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kad itu bertujuan meringankan beban mahasiswa akibat kenaikan harga barang.

Beliau berkata, kementerian kini berbincang dengan pedagang besar yang terbabit dalam perniagaan seperti kedai buku, barangan sukan dan syarikat pengangkutan bagi membolehkan mahasiswa menikmati diskaun apabila membeli-belah.

"Kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pedagang dan kini terdapat tujuh pedagang yang terbabit. Kementerian sedang mempercepatkan proses perbincangan dengan pedagang lain dan kita yakin boleh selesai dalam tempoh terdekat.

"KPDNKK turut bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk mengeluarkan kad diskaun pelajar yang kini dalam proses mereka bentuk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pengguna Siswa Kebangsaan, yang disertai lebih 400 penuntut 122 IPT awam dan swasta di seluruh negara, di Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.

No comments:

Post a Comment